KUALA LUMPUR 31 Mac – Untung bersih Crescendo Corporation Berhad merudum 92% kepada RM153,000 bagi suku keempat berakhir 31 Januari 2026 berbanding RM1.85 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Perolehan kumpulan bagaimanapun meningkat 16% kepada RM82.44 juta daripada RM71.06 juta sebelumnya, disokong oleh sumbangan lebih kukuh daripada segmen pembangunan hartanah dan pembinaan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Crescendo berkata keuntungan sebelum cukai susut ketara kepada RM1.55 juta berbanding RM3.97 juta, terjejas oleh peningkatan kos operasi serta kerugian yang ditanggung sebuah anak syarikat.
“Kerugian tersebut berpunca daripada kos pemindahan dan perbelanjaan permulaan operasi sebuah kilang baharu dalam segmen pembuatan,” katanya dalam makluman tersebut.
Bagi tahun kewangan penuh berakhir 31 Januari 2026, keuntungan bersih susut 81.5% kepada RM98.13 juta daripada RM528.1 juta yang dicatatkan setahun lalu.
Hasil turut merosot kepada RM445.21 juta berbanding RM1.15 bilion sebelum ini, terutamanya disebabkan ketiadaan sumbangan besar daripada penjualan tanah seperti yang direkodkan pada tahun kewangan sebelumnya.
Segmen pembangunan hartanah dan pembinaan kekal sebagai penyumbang utama, dengan hasil RM367.7 juta dan keuntungan operasi RM119.7 juta bagi tahun tersebut.
Prestasi itu sebahagian besarnya disokong oleh penjualan tanah pusat data di Nusa Cemerlang Industrial Park (NCIP), yang menyumbang kira-kira satu pertiga daripada hasil kumpulan dan lebih 60% daripada keuntungan operasi segmen berkenaan.
Secara suku ke suku, kumpulan merekodkan penurunan ketara apabila hasil susut 62% daripada RM217.45 juta pada suku sebelumnya, manakala keuntungan sebelum cukai menjunam hampir 98%.
Penurunan itu disebabkan ketiadaan pengiktirafan jualan tanah berskala besar seperti yang direkodkan pada suku terdahulu.
Dari segi kedudukan kewangan, jumlah aset kumpulan berjumlah RM2.01 bilion dengan ekuiti sebanyak RM1.46 bilion, manakala paras hutang berkurang susulan pembayaran balik pinjaman sepanjang tahun.
Aliran tunai operasi turut menurun kepada RM42.26 juta berbanding RM426.03 juta sebelumnya, sejajar dengan prestasi hasil yang lebih rendah dalam tempoh tersebut.
Melangkah ke hadapan, kumpulan optimis terhadap prospek pasaran hartanah di Johor, disokong oleh pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura serta projek infrastruktur utama seperti RTS, selain permintaan berterusan terhadap hartanah industri. - DagangNews.com








