Untung bersih Coraza naik 222% kepada RM14.16 juta bagi FY25 disokong pemulihan sektor semikonduktor global | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih Coraza naik 222% kepada RM14.16 juta bagi FY25 disokong pemulihan sektor semikonduktor global

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 23 AprilCoraza Integrated Technology Berhad mencatatkan kenaikan ketara dalam keuntungan bersih bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY25) yang mencecah RM14.16 juta.


Ia meningkat 222.28% berbanding hanya RM4.39 juta pada tahun kewangan sebelumnya, dipacu pemulihan kukuh dalam industri semikonduktor global serta lonjakan permintaan bagi kecerdasan buatan (AI).


Kumpulan tersebut dalam makluman kepada Bursa Malaysia menambah, pertambahan keuntungan berkenaan turut disokong produk pengkomputeran berprestasi tinggi (HPC) dan meningkatkan tempahan pelanggan.


"Syarikat ini turut merekodkan pendapatan sebanyak RM160.23 juta, yang mewakili pertumbuhan kukuh 46.96% berbanding kira-kira RM109.03 juta pada FY24," jelas Coraza menerusi kenyataan tersebut.


Pertumbuhan kali ini tambahnya, didorong oleh faktor sumbangan teguh daripada kedua-dua program semikonduktor bahagian hadapan dan belakang di samping kecekapan operasi yang lebih baik.


Ini termasuk hasil pengeluaran yang tinggi, ekonomi berskala, serta pengurusan kos lebih ketat, dengan syarikat berjaya meningkatkan penggunaan automasi proses yang menyumbang kepada margin.


Satu pencapaian operasi penting bagi Coraza sepanjang tahun itu adalah permulaan operasi di kilang P5 pada Disember 2024, dan menempatkan barisan kemasan permukaan dalaman bersepadu yang pertama.


"Perkembangan tersebut sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada vendor luar dan meningkatkan keupayaan untuk menghasilkan produk yang lebih kompleks dengan margin lebih tinggi," katanya.


Bagi prospek masa hadapan, Coraza masih kekal optimis terhadap kedudukan tahun kewangan 2026 berikutan isyarat permintaan yang kuat daripada ramai pelanggan semikonduktor jenis Tahap 1. 


Syarikat sudah pun melaksanakan pelan pengembangan kapasiti melalui kemudahan di kilang K5 dan P3 untuk menyokong peralihan beberapa projek semikonduktor daripada fasa pengenalan produk baharu.


Kumpulan juga terus memantau faktor luaran seperti turun naik pertukaran mata wang asing dan perkembangan geopolitik global yang mempercepatkan inisiatif rantaian bekalan. - DagangNews.com