KUALA LUMPUR 13 Feb - Untung bersih CelcomDigi Bhd menjunam 63.9% kepada RM157 juta bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2024 (4QFY24) berbanding RM435 juta pada suku sama tahun sebelumnya kesan rosot nilai selepas penggabungan dan pelarasan kewangan.
Kumpulan itu berkata, hasil bagi tempoh itu bagaimanapun meningkat sedikit kepada RM3.28 bilion berbanding RM3.27 bilion pada tahun sebelumnya dengan semua segmen mencatatkan pertumbuhan kecuali prabayar.
Bagi FY24, untung bersih CelcomDigi turun 11.3% kepada RM1.38 bilion daripada RM1.55 bilion tahun sebelumnya, manakala pendapatan berjumlah RM12.68 bilion.
TERKINI: CelcomDigi dijangka terus bergelut akibat kekurangan pemangkin memacu pertumbuhan - penganalisis
Katanya, pelarasan kewangan berkaitan penggabungan sekali sahaja menyebabkan pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBITDA) dan untung bersih yang dilaporkan untuk FY24 masing-masing merosot 13.4% dan 11.4%.
"Tidak termasuk pelarasan tidak berulang ini, EBITDA dan untung bersih normal setahun penuh mencatat pertumbuhan kukuh, masing-masing meningkat 4% kepada RM2.8 bilion dan 11.6% kepada RM1.7 bilion, dipacu oleh pengurusan kos yang ketat dan penjimatan sinergi," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Mengulas mengenai prestasinya, kumpulan itu berkata, pertumbuhan hasil yang berterusan dalam rumusan pascabayar, rumah & jalur lebar dan perusahaan membantu mengimbangi penurunan dalam prabayar dan mudah alih perusahaan.
Hasil pascabayar meningkat 2.6% kepada RM4.2 bilion pada FY24 berikutan pertumbuhan pelanggan daripada pelan penumpuan yang dipertingkatkan.
Sementara itu, hasil prabayar mencatatkan penurunan lebih perlahan sebanyak 3.4% kepada RM4.4 bilion, dengan kerugian pelanggan kini pada kadar yang lebih rendah berbanding suku sebelumnya, menunjukkan tanda-tanda pemulihan disebabkan pengurusan asas yang berkesan.
Hasil rumah dan jalur lebar mencatat pertumbuhan dua angka yang kukuh pada 34.4% kepada RM185 juta, dengan 76,000 pelanggan baharu mendahului kadar pertumbuhan industri.
Hasil rumusan perusahaan meningkat sebanyak 8.8%, manakala mudah alih perusahaan bertambah baik sebanyak 5.2%, mencerminkan penerimaan menggalakkan penawaran korporatnya.
Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Idham Nawawi berkata, syarikat itu mencapai pencapaian penting pada tahun kedua penyepaduan selepas penggabungan, meraih sinergi seperti yang dirancang sambil mengekalkan disiplin kewangan untuk mencapai prestasi kewangan dan operasi keseluruhan yang kukuh.
Beliau berkata, pelaksanaan kukuh dan kecemerlangan operasi membolehkan syarikat menyampaikan nilai pemegang saham selaras dengan panduan FY24.
"Kami akan memacu kecemerlangan operasi melalui pengoptimuman struktur kos dan model operasi yang mantap untuk menjadi salah satu pengendali paling cekap di dunia.
"Kami terus melabur untuk membawa inovasi dan keupayaan dipacu kecerdasan buatan (AI) baharu ke pasaran, sambil kami mentakrifkan semula perkhidmatan digital dan perjalanan pelanggan.
"Inisiatif ini akan membolehkan kami menyampaikan pengalaman pelanggan yang unggul, mengekalkan kepimpinan pasaran kami dan merealisasikan cita-cita teknologi telekomunikasi kami, sambil memajukan pembangunan negara menjadi masyarakat digital dikuasakan 5G-AI," katanya. - DagangNews.com








