Untung bersih CAB Cakaran meningkat 30.8% kepada RM19.75 juta didorong harga jualan lebih tinggi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih CAB Cakaran meningkat 30.8% kepada RM19.75 juta didorong harga jualan lebih tinggi

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 3 Jun — CAB Cakaran Corporation Berhad mencatatkan peningkatan 30.8 peratus keuntungan bersih kepada RM19.75 juta bagi suku kedua yang berakhir pada 31 Disember 2024.


Kumpulan pengeluar makanan tersebut berkata, perkembangan itu berikutan penurunan kecil kira-kira 0.2 peratus dalam hasil keseluruhan perolehan kepada sebanyak RM573.72 juta.


Di peringkat operasi, bahagian ternakan ayam bersepadu mencapai keuntungan lebih tinggi sebanyak 48.6 peratus, sebahagian besar kerana pengurangan 11 peratus dalam harga makanan.


"Segmen berkenaan juga menikmati purata harga jualan ayam pedaging dan anak ayam yang lebih tinggi, masing-masing sebanyak 6 peratus dan 4 peratus," kata CAB dalam kenyataan.


Tambah kumpulan tersebut, berdasarkan prestasi positif itu, perolehan sesaham syarikat berada pada 2.82 sen untuk tempoh suku berkenaan, daripada 2.15 sen dicatatkan sebelumnya.


Bagi asas enam bulan hingga 31 Mac 2025, ia merekodkan keuntungan bersih kepada kira-kira RM47.93 juta berikutan lonjakan hasil sebanyak 3.92 peratus kepada RM1.17 bilion.


Katanya, penurunan sebanyak 10.4 peratus ini disebabkan terutamanya oleh ketiadaan subsidi kerajaan berjumlah RM39.8 juta yang diterima pada tempoh suku pertama 2024.


Kedudukan kewangan kumpulan itu juga kekal kukuh untuk tempoh tersebut, dengan kedudukan tunai CAB meningkat kepada RM209.69 juta, daripada sebanyak RM180.97 juta sebelumnya.


Pengarah Urusan Kumpulan CAB, Christopher Chuah Hoon Phong berkata, mereka berbangga dengan keputusan suku kedua kerana telah beroperasi tanpa subsidi selama lima suku sekarang.


Sejak pemberhentian subsidi kerajaan itu katanya, pertumbuhan syarikat terutamanya pada peringkat operasi, menunjukkan kecekapan dan boleh berkembang maju walaupun tiada subsidi.


"Kami bermula sebagai syarikat ayam pedaging, tetapi hari ini, CAB adalah kumpulan pengeluar makanan bersepadu dengan bahagian pemprosesan makanan dan runcit," kata beliau.


Ia turut yakin dengan prestasi kumpulan pada suku berikut, serta secara proaktif melakukan strategi untuk menyokong pertumbuhan mampan dan penciptaan nilai jangka panjang. - DagangNews.com