KUALA LUMPUR 25 Mac - Untung bersih Astro Malaysia Holdings Berhad pada suku keempat berakhir 31 Januari 2025 (4QFY25) susut lebih 75% kepada RM11 juta berbanding RM44.36 juta berbanding suku sama tahun lalu kesan kos pembiayaan lebih tinggi dan penurunan hasil langganan.
Kumpulan itu berkata, bagaimanapun keadaan itu diimbangi pelunasan aset tidak ketara dan perbelanjaan cukai yang lebih rendah.
Katanya, hasil bagi suku semasa sebanyak RM766.4 juta merosot sebanyak RM53.5 juta atau 6.5% berbanding 4QFY24 sebanyak RM819.9 juta.
"Penurunan ini didorong pengurangan dalam hasil langganan dan hasil pengiklanan," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.
Kumpulan itu berkata, hasil daripada televisyen bagi suku semasa sebanyak RM716 juta lebih sebanyak 6.7% berbanding suku yang sama sebanyak RM767.5 juta disebabkan penurunan hasil langganan dan hasil pengiklanan.
Ia juga disebabkan penurunan dalam hasil termasuk kemerosotan nilai belum terima dan kos kandungan yang lebih tinggi, diimbangi oleh penurunan dalam kos jalur lebar.
"Pendapatan radio bagi suku semasa lebih rendah sedikit sebanyak RM2.2 juta atau 4.2% berbanding suku yang sama disebabkan sentimen pengguna yang lemah yang membawa kepada perbelanjaan pengiklanan yang lebih rendah," katanya.
Sementara itu, untung bersih kumpulan bagi FY25 meningkat kepada RM127.5 juta berbanding RM27.7 juta bagaimanapun hasil menyusut kepada RM3.07 bilion berbanding RM3.34 bilion.
Astro dalam satu kenyataan berasingan berkata, platform over-the-top (OTT) kumpulan iaitu, sooka, kini berada di landasan kejayaan dengan mencatat pertumbuhan bagi FY25.
Katanya, satu-satunya platform aplikasi kendiri di Malaysia yang menawarkan siaran langsung sukan bersama barisan kandungan menarik, sooka terus melakar kejayaan unik dalam pasaran.
"Pengguna aktif bulanan (MAU) meningkat 13% YoY kepada 1.2 juta, manakala jumlah pelanggan berbayar berganda," katanya.
Selari dengan pelan transformasi kumpulan, Astro One diperkenalkan pada Disember 2024 dengan tiga pakej TV berbayar baharu ringkas dan berpatutan.
Bermula pada harga menarik dan berpatutan RM49.99, setiap pakej menawarkan penambahan kandungan antarabangsa, serantau, vernakular dan Malaysia, serta akses kepada aplikasi penstriman popular dan pilihan jalur lebar fleksibel.
"Langkah strategik ini bertujuan mengembangkan pelanggan asas sambil mengambil kira kekangan kewangan yang dihadapi oleh isi rumah masa kini," katanya. - DagangNews.com








