KUALA LUMPUR 7 April – Aeon Credit Service (M) Berhad mencatatkan peningkatan keuntungan bersih kira-kira 3.4% kepada sebanyak RM383.17 juta bagi tahun kewangan berakhir 28 Februari 2026 (FY26).
Menurut kumpulan tersebut, jumlah direkodkan pada tahun sebelumnya hanya RM370.61 juta, manakala prestasi positif kali ini didorong terutamanya oleh faktor lonjakan hasil yang naik sebanyak 12.3%.
Perkembangan berkenaan tambahnya, berjaya dalam mengimbangi peningkatan kerugian kemerosotan nilai ke atas belum terima pembiayaan serta perbelanjaan operasi yang lebih tinggi pada tahun tinjauan.
"Hasil kumpulan naik kepada RM2.47 bilion daripada RM2.20 bilion, disokong oleh pertumbuhan kukuh dalam jumlah transaksi dan pembiayaan yang meningkat 6.6% kepada RM8.97 bilion," kata Aeon Credit.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, ia melaporkan keuntungan bersih bagi suku keempat FY26 bertambah 9.2% kepada RM143.01 juta, dibantu oleh kerugian kemerosotan nilai lebih rendah.
Kumpulan namun merekodkan kerugian dalam syarikat sekutu, Aeon Bank (M) Berhad, sebanyak RM85.22 juta bagi tahun tersebut disebabkan kos teknologi, kakitangan, dan sokongan pemasaran perniagaan.
Lembaga Pengarah Aeon Credit mencadangkan dividen akhir satu peringkat 15.75 sen sesaham dan dividen khas 2.00 sen sesaham, menjadikan jumlah keseluruhan ganjaran sebanyak 17.75 sen sesaham.
"Meskipun berdepan dengan ketidaktentuan geopolitik di Timur Tengah dan tekanan inflasi global, kumpulan tetap optimis untuk mengekalkan momentum perniagaannya," jelas kenyataan tersebut lagi.
Kumpulan akan terus fokus pada pertumbuhan aset pembiayaan berkualiti dan pemantauan risiko kredit yang rapi, selain memanfaatkan ekosistem perniagaannya agar dapat memperluaskan capaian pelanggan.
Nisbah pinjaman tidak berbayar (NPL) kumpulan juga menunjukkan penambahbaikan apabila susut kepada 2.61% setakat 28 Februari 2026 berbanding 2.64% pada tahun sebelumnya. - DagangNews.com








