Untung bersih 5E Resources naik sedikit kepada RM21.8 juta pada FY25 disokong segmen sisa berjadual | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Untung bersih 5E Resources naik sedikit kepada RM21.8 juta pada FY25 disokong segmen sisa berjadual

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 10 April – 5E Resources Holdings Berhad mencatatkan prestasi kewangan yang stabil bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, dengan keuntungan dan hasil yang kekal hampir tidak berubah berbanding tahun sebelumnya.

 

Syarikat yang terlibat dalam pengurusan sisa terjadual, produk kitar semula dan perdagangan bahan kimia itu merekodkan hasil sebanyak RM80.06 juta pada tahun 2025 berbanding RM80.15 juta pada tahun 2024.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, 5E Resources berkata bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2025, kumpulan berkenaan mencatatkan hasil RM18.57 juta dengan keuntungan selepas cukai sebanyak RM3.32 juta.

 

“Secara keseluruhan, keuntungan selepas cukai kumpulan bagi tahun kewangan 2025 adalah RM21.82 juta, sedikit meningkat berbanding RM21.78 juta pada tahun sebelumnya.

 

“Prestasi stabil itu didorong oleh segmen pengurusan sisa terjadual yang terus menjadi penyumbang utama dengan sumbangan kira-kira 80 peratus daripada jumlah hasil kumpulan.

 

“Selain itu, segmen produk kitar semula dan perdagangan bahan kimia turut menyumbang kepada hasil keseluruhan, namun dalam bahagian yang lebih kecil,” katanya dalam makluman tersebut.

 

Dari segi kedudukan kewangan, jumlah aset kumpulan meningkat kepada RM167.93 juta berbanding RM138.27 juta pada tahun sebelumnya, disokong oleh peningkatan aset tetap dan pegangan tunai.

 

Kedudukan tunai kumpulan juga kekal kukuh dengan gabungan tunai dan deposit tetap berjumlah lebih RM50 juta, sekali gus memberikan ruang kecairan yang baik.

 

Dalam masa yang sama, jumlah liabiliti kumpulan berkurang kepada RM22.57 juta berbanding RM39.58 juta sebelumnya, menunjukkan pengurangan hutang yang ketara.

 

Kumpulan turut mencatatkan aliran tunai operasi positif sebanyak RM24.08 juta, walaupun aliran tunai pelaburan menunjukkan pengeluaran lebih tinggi akibat pembelian aset dan pembangunan fasiliti baharu.

 

Syarikat kini sedang melaksanakan rancangan pengembangan termasuk pembinaan fasiliti baharu di Perak serta pembelian mesin dan peralatan, yang dibiayai melalui dana tawaran awam permulaan (IPO).

 

5E Resources Holdings Berhad dijangka disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia pada 15 April 2026, dengan sasaran pengumpulan dana sebanyak RM79.17 juta bagi menyokong pertumbuhan jangka panjang kumpulan.- DagangNews.com