KUALA LUMPUR 2 Mac – Prestasi sembilan bulan FY26 SkyWorld Development Berhad yang hanya memenuhi 61% unjuran tahunan TA Securities menimbulkan persoalan terhadap momentum semasa.
Bagaimanapun firma penyelidikan tersebut menjangkakan pemulihan kukuh pada suku keempat bakal memastikan prestasi setahun penuh kekal di landasan yang ditetapkan kumpulan pemaju hartanah itu.
Katanya, keuntungan bersih teras 9MFY26 susut 22.6% tahun ke tahun (YoY) kepada RM25.6 juta, sejajar jangkaannya berikutan penyempurnaan projek EdgeWood Residences dan SkyVogue Residences.
"Sementara beberapa projek baharu masih di peringkat awal pembinaan, dan hasil tempoh itu merosot 9.9% YoY kepada RM298.3 juta, manakala untung kasar jatuh kira-kira 27.8% kepada RM47.8 juta," katannya.
Margin perolehan sebelum faedah dan cukai (EBIT) turut mengecil 4 mata peratusan kepada 16.0% disebabkan leveraj operasi lebih lemah daripada asas pembangunan aktif yang semakin mengecil.
Prestasi suku ketiga namun menunjukkan pemulihan apabila pendapatan melonjak 58.1% suku ke suku (QoQ) kepada RM137 juta, manakala keuntungan bersih teras melonjak 108.6% QoQ kepada RM14.7 juta.
Peningkatan itu disokong bil kemajuan lebih tinggi daripada Vesta Residences serta sumbangan sulung melalui projek baharu seperti SkyAwani PR1MA, SkyAwani 6 Residences dan SkyAwani Pearlmont Fasa 1.
"Kami menjangkakan momentum tersebut berterusan sehingga 4QFY26, didorong pengiktirafan hasil mampan daripada projek SkyWorld yang sedang berjalan dan pelancaran baharu," tambah TA Securities.
Dari segi prospek pula kata firma itu, kumpulan tersebut berjaya melancarkan projek bernilai RM1.5 bilion dalam 9MFY26, bersamaan 75% daripada sasaran pelancaran FY26 sebanyak RM2.0 bilion.
Jualan belum dibil meningkat kepada RM1.1 bilion setakat akhir Disember 2025, hampir dua kali ganda berbanding RM589 juta tiga bulan sebelumnya, yang mewakili liputan 2.8 kali unjuran hasil FY26.
Kedudukan kewangan SkyWorld kekal kukuh dengan nisbah gearan bersih 0.32 kali dan tunai melebihi RM250 juta, menyediakan ruang mencukupi untuk membiayai projek semasa dan pelancaran akan datang.
"Selain itu, inisiatif perindustrian pembinaan melalui fasiliti di Seberang Perai Tengah dijangka bermula 4QFY26 dengan operasi menjelang 3QFY27, yang berpotensi meningkatkan kecekapan kos.
Sehubungan itu, TA Securities mengekalkan saranan 'beli' dan menaikkan harga sasaran kepada 76 sen daripada 70 sen selepas melanjutkan tahun asas penilaian ke CY27. - DagangNews.com








