Unjuran hasil SKP Resources dikhuatiri susut 50% hingga FY28 susulan permintaan lemah — PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Unjuran hasil SKP Resources dikhuatiri susut 50% hingga FY28 susulan permintaan lemah — PublicInvest

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 17 April — Unjuran pendapatan SKP Resources Berhad bagi tempoh tiga tahun dari FY26 hingga FY28 dipotong secara purata sebanyak 50% oleh Public Investment Bank (PublicInvest).


Menurut firma penyelidikan tersebut, pengurangan berkenaan susulan jangkaan permintaan semakin lemah dalam sektor elektronik pengguna di pasaran susulan kenaikan harga minyak mentah global.


Ia disebabkan tekanan berterusan konflik di Timur Tengah yang diramal meningkatkan kos sara hidup, dan menjejaskan perbelanjaan pengguna terhadap barangan tidak perlu seperti produk elektronik.


“Keadaan ini dijangka menyebabkan pengguna lebih berhati-hati dalam perbelanjaan, sekali gus memberi kesan kepada tempahan jualan SKP Resources dalam tempoh terdekat,” kata nota PublicInvest.


Sehubungan situasi semasa itu, firma tersebut menurunkan penarafan saham syarikat berkenaan daripada 'outperform' kepada 'neutral' dengan harga sasaran (TP) yang lebih rendah iaitu 39 sen.


Pada masa sama, kumpulan itu sedang membida beberapa model baharu bersama pelanggan utamanya bagi meningkatkan kadar penggunaan fasiliti, khususnya di kilang baharu yang hanya beroperasi 30%.


SKP_DagangNews


Tambah PublicInvest, kapasiti sedia ada SKP Resources masih mencukupi untuk menampung pengeluaran tambahan sekiranya semua bidaan tersebut berjaya, sekali gus membantu menyerap kos tetap operasi.


"Walaupun prospek jangka pendek dilihat mencabar, syarikat itu terus memperkukuh keupayaan melalui usaha pengembangan dalam pemasangan papan litar bercetak (PCBA) dan acuan suntikan," ujarnya.


Kerja-kerja berkenaan jelas firma penyelidikan tersebut, dijangka membolehkan syarikat itu dapat memperluaskan portfolio produk dan seterusnya berupaya dalam meningkatkan integrasi pelanggan.


Selain itu kata PublicInvest, usaha mendapatkan pelanggan baharu turut dilihat sebagai langkah strategik mempelbagaikan sumber hasil dan meningkatkan daya tahan perniagaan dalam jangka panjang.


Bagaimanapun, ia menegaskan prospek SKP Resources kekal terdedah kepada risiko permintaan lemah dan ketidaktentuan ekonomi global dalam tempoh terdekat. - DagangNews.com