Unisem dijangka kembali untung 2QFY26, MBSB Research naikkan penarafan kepada ‘neutral’ | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Unisem dijangka kembali untung 2QFY26, MBSB Research naikkan penarafan kepada ‘neutral’

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 27 April - Unisem (M) Bhd dijangka kembali mencatat keuntungan bermula suku kedua tahun kewangan 2026 (2QFY26) selepas merekodkan prestasi lemah pada suku pertama, menurut MBSB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, walaupun kumpulan mencatatkan kerugian pada 1QFY26, keputusan itu masih dianggap selari dengan jangkaan berikutan faktor luaran yang menjejaskan prestasi semasa.

 

“Pemulihan pendapatan dijangka dipacu oleh sumbangan lebih kukuh daripada operasi di Chengdu serta kawalan yang lebih baik terhadap perbelanjaan operasi (opex) dan perbelanjaan modal (capex),” katanya dalam nota kajian.

 

Sehubungan itu, firma tersebut menaik taraf saranan terhadap saham Unisem kepada “neutral” daripada “jual” sebelum ini, dengan harga sasaran disemak lebih tinggi kepada RM2.92 berbanding RM2.59.

 

Menurutnya, semakan itu dibuat selepas asas penilaian dilanjutkan ke tahun kewangan 2027 (FY27), walaupun anggaran pendapatan kekal tidak berubah buat masa ini.

 

Harga sasaran tersebut disandarkan kepada nisbah harga kepada pendapatan (PER) sebanyak 27.8 kali, iaitu purata bergerak lima tahun, lebih rendah berbanding penilaian semasa sekitar 35 kali.

 

“Penetapan PER lebih rendah ini mengambil kira margin keuntungan kumpulan yang lebih lemah berbanding rakan setara dalam sektor penyumberan luar pemasangan dan ujian semikonduktor (OSAT), selain kedudukan hutang yang masih tinggi,” jelasnya.

 

MBSB Research turut menjangkakan margin keuntungan Unisem kekal tertekan dalam tempoh terdekat, dipengaruhi oleh kesan pertukaran asing yang tidak memihak.

 

Pada masa sama, nisbah hutang kepada ekuiti kumpulan dilaporkan berada pada paras 0.24 kali setakat suku pertama 2026.

 

Dari segi perbelanjaan, capex Unisem kekal tinggi pada RM102.4 juta bagi 1QFY26, meskipun mencatatkan penurunan kecil sebanyak 5.9% tahun ke tahun.

 

Sebahagian besar perbelanjaan tersebut diperuntukkan bagi pembelian peralatan pemasangan dan ujian di fasiliti Chengdu, China serta Ipoh, Perak.

 

Bagaimanapun, pihak pengurusan menjangkakan capex akan mula berkurangan bermula 2QFY26 dan menyusut ke tahap minimum menjelang suku ketiga (3QFY26).

 

Secara keseluruhan, prospek jangka sederhana Unisem dilihat bertambah baik, namun tekanan terhadap margin dan faktor luaran kekal menjadi risiko utama kepada prestasi kumpulan. - DagangNews.com