SHAH ALAM 18 Julai – Universiti Teknologi MARA (UiTM), melalui Pusat Kokurikulum dan Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP), memperkenalkan Program Transformasi Kemenjadian Pelajar Kokurikulum yang bertujuan memperkukuh pembangunan holistik pelajar serta memenuhi keperluan industri semasa dengan latihan serta pensijilan profesional bertaraf industri.
Program ini merupakan kesinambungan daripada inisiatif terdahulu, iaitu Transformasi Kemenjadian Kepimpinan Pelajar Persijilan Kompetensi Profesional Industri, dengan pelaburan RM7.5 juta dalam Certified System Analyst on AI.
Program baharu ini diinspirasikan oleh visi strategik Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin bin Sahib @ Sahibuddin, Naib Canselor UiTM, untuk memperkasakan pelajar kokurikulum, khususnya Komander Kesatria, agar lebih bersedia menghadapi cabaran industri masa hadapan.

Pelaksanaan program ini dipimpin oleh Prof. Dr. Mohd Sazili Shahibi, Timbalan Naib Canselor (HEP), yang komited dalam memperkasakan potensi pelajar melalui kerjasama erat dengan industri. Inisiatif ini seiring dengan Model Pemerkasaan Mahasiswa UiTM (MPMU) yang bertujuan melahirkan graduan mampan, berkemahiran tinggi, serta holistik dalam era teknologi AI yang pesat berkembang.
Antara komponen utama program ini ialah AWS re/Start, program pembangunan kemahiran cloud computing melalui pembelajaran praktikal, simulasi industri, serta bimbingan kerjaya termasuk persediaan penulisan resume dan temu duga. Peserta juga akan menduduki peperiksaan AWS Certified Cloud Practitioner yang diiktiraf secara global.
Program ini menyasarkan penyertaan seramai 6,000 pelajar tahun akhir dalam tempoh tiga tahun, tertakluk kepada dana dan penajaan yang disediakan oleh Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera.
Program ini dilaksanakan melalui kolaborasi strategik dengan World Education Placement Services Sdn. Bhd. (WEPS) dan IEG Campus, dengan peruntukan RM5,000 bagi setiap peserta, menjadikan nilai keseluruhan program ini RM30 juta.
Geran program ini diperuntukkan sebagai geran perundingan, dengan Datuk Dr. Hasrol Jono sebagai Ketua Perunding. Pasukan perunding turut terdiri daripada Prof. Dr. Mohd Sazili Shahibi, Prof. Madya Ts. Dr. Basharudin Abdul Hadi, dan Prof. Madya Dr. Alwi Mohd Yunus.
Majlis pelancaran turut dimeriahkan oleh kehadiran kepimpinan WEPS, iaitu Dato' Rathakrishnan Vellaisamy (Pengarah Urusan), Mughilen Rathakrishnan (CEO), Wan Nurul Rukiah Wan Rasdi (Pengurus Kanan), dan Manvir Singh Parminder Singh (Pengurus, Pembangunan Perniagaan).
Melalui inisiatif ini, UiTM kekal komited melahirkan graduan cemerlang akademik yang dilengkapi dengan kompetensi profesional, daya saing global, serta jati diri kukuh, bersedia menghadapi cabaran masa depan yang dinamik. - DagangNews.com








