KUALA LUMPUR 20 Feb — UEM Sunrise Berhad mencatatkan prestasi kukuh apabila mencapai jualan sebanyak RM1.418 bilion, sekali gus melebihi sasaran RM1 bilion yang ditetapkan pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY2024).
Menurut kenyataan pemaju hartanah itu, pertumbuhan positif itu malah melepasi sasaran tempoh setahun penuh untuk kedua-dua jualan dan pelancaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) yang dilancarkan mencecah RM904 juta, sekali gus mengatasi sasaran RM800 juta.
Pencapaian ini membuktikan keupayaannya untuk menguasai permintaan pasaran, didorong pelancaran yang tepat pada masanya dan responsif terutama di Wilayah Selatan, apabila ia mengesahkan peranannya sebagai perancang induk Iskandar Puteri, Johor.
"Perolehan berjumlah RM1.34 bilion manakala Keuntungan Selepas Cukai dan Kepentingan Bukan Kawalan (PATANCI) naik 38 peratus kepada RM104 juta yang mencerminkan pelaksanaan berdisiplin, dibantu kecekapan kos dan pengurusan portfolio strategik," katanya.
Jualan belum dibilkan turut meningkat kepada RM3.04 bilion, meningkat 15 peratus berbanding FY23 kepada paras baharu pasca wabak Covid-19, dan memberikan status pendapatan yang kukuh dalam tempoh antara dari 18 hingga 36 bulan akan datang.
Kunci kira-kira UEM Sunrise juga kekal stabil dengan baki tunai dan bank, termasuk pelaburan jangka pendek berjumlah RM1.265 bilion, meningkat 16 peratus tahun-ke-tahun (YoY), dan nisbah pengemudian bersih yang teguh sebanyak 0.40x (meningkat 0.05x YoY).
Pengukuhan daya tahan kewangan itu ujar kenyataan tersebut membolehkan pembayaran dividen yang lebih baik iaitu sebanyak 1.24 sen sesaham, mewakili nisbah 60 peratus berbanding 0.75 sen pada FY23, yang mencerminkan lagi komitmen mampan syarikat.
"Strategi pengoptimuman aset berjaya memberikan keputusan ketara, dengan purata hasil bersih bertambah baik kepada 5.1 peratus pada FY24, disokong kadar penghunian lebih tinggi dan hasil sewa dipertingkatkan di seluruh hartanah komersilnya," jelasnya.
Pegawai Bertanggungjawab dan Ketua Pegawai Kewangan UEM Sunrise, Hafizuddin Sulaiman berkata, prestasi teguh sepanjang tahun lalu terutamanya pada separuh kedua 2024, menyokong daya tahan operasi teras dan kedudukan pasaran strategik syarikat tersebut.
Ia juga ujar beliau, melebihi sasaran GDV di tengah-tengah landskap kompetitif serta menunjukkan kepercayaan dan keyakinan pembeli rumah selain pelabur terhadap UEM Sunrise dalam pasaran dinamik dengan pertumbuhan juga disokong beberapa inisiatif.
Pencapaian UEM Sunrise katanya, turut selaras dengan strategik utama yang berteraskan Pelan Transformasi U2030 dan dalam mengoptimumkan kecekapan modal, syarikat memperhalusi pengurusan perbendaharaan, menambah baik kecairan dan pendapatan faedah.
"Kami turut memperoleh harga sukuk yang lebih baik untuk mengurangkan kos pendanaan dan pada masa sama, mengembangkan keupayaan digital dengan melancarkan HomeClick, bagi meningkatkan pengalaman pelanggan melalui penyelesaian digital-first," katanya. - DagangNews.com








