UDA tawar 422 unit hartanah dalam bandar, komited perkukuh pasaran Johor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

UDA tawar 422 unit hartanah dalam bandar, komited perkukuh pasaran Johor

JOHARI Shukri Jamil (tiga dari kiri) bergambar kenangan selepas menyerahkan replika baucar IKEA bernilai RM2,000 kepada antara pembeli terawal hartanah UDA Property Johor pada Promosi Jualan MeiRiah Tawaran Hebat UDA Heights di Johor Bahru.
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 26 Mei — UDA Holdings Berhad (UDA) terus memperkukuh kehadirannya di Johor dengan menawarkan sejumlah 422 unit hartanah bagi memperkasakan pemilikan hartanah yang meliputi pelbagai lapisan masyarakat di kawasan bandar.


Pemaju hartanah dan pengurusan aset itu berkata, usaha tersebut sejajar dengan komitmen UDA memperhebatkan komuniti serta menyediakan akses pemilikan hartanah di bandar yang lebih inklusif khususnya kepada golongan Bumiputera.


Terbaharu, ia melancarkan Promosi Jualan MeiRiah Tawaran Hebat UDA Heights yang mencerminkan kejayaannya selama lima dekad dalam menerajui pembangunan bandar di Johor seperti Bandar Baru UDA, Pusat Bandar Tampoi, Skudai Kanan dan Bandar UDA Utama.


"Pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi memberikan nilai tambah kepada bakal pembeli serta memperteguh kesejahteraan komuniti setempat disediakan melalui promosi khas yang terbaharu ini," kata UDA dalam satu kenyataan.

 

uda


Antaranya, tawaran baucar daripada IKEA Tebrau yang berjumlah RM20,000 kepada 10 pembelian terawal hartanah kediaman dan komersial UDA di Johor dengan setiap pembelian tersebut akan turut layak menerima pemberian tunai sebanyak RM2,000.


UDA juga tambahnya, menanggung kos guaman dan setem duti untuk Perjanjian Jual Beli serta Perjanjian Pinjaman Bank untuk semua hartanahnya yang masih dalam proses pembinaan termasuk banglo, rumah teres, rumah berkembar, serta kedai pejabat.


Selain itu, UDA memperkenalkan promosi pendaftaran bagi projek baharu yang akan dilancarkan pada 2025 dan 2026 dengan inisiatif ini memberi peluang hartanah dari pelbagai jenis seperti rumah bandar, apartmen servis serta kedai satu tingkat.


"Projek dirancang ini menekankan konsep amalan pembinaan hijau selari matlamat pembangunan mampan (SDG) untuk kepentingan gaya hidup lestari, serta mengutamakan jaminan keselamatan secara holistik demi kesejahteraan komuniti," katanya.

 

uda


Tambah UDA, hartanah itu direka bentuk moden menampilkan ruang terbuka, siling tinggi untuk pengudaraan semula jadi dan tingkap bersaiz besar bagi pencahayaan maksimum melengkapi keperluan masa kini yang mengutamakan keselesaan.


Aspek keselamatan kata pemaju tersebut, turut diperkemas dengan pemasangan kamera litar tertutup, pos kawalan serta penyediaan taman permainan dan kawasan hijau bagi menyokong kehidupan komuniti yang lebih sihat dan harmoni.


Sebagai langkah pengukuhan hubungan dengan komuniti setempat, UDA melaksanakan CSR UDA Cares dengan menyalurkan sumbangan RM40,000 kepada empat buah sekolah dalam kawasan pembangunan UDA menerusi program dikenali sebagai Sekolah Lestari UDA.


Katanya, ia merupakan sebuah program kerjasama dengan pihak Jabatan Pendidikan Negeri bagi menyokong usaha Malaysia dapat mencapai SDG di samping sebanyak RM5,000 turut disumbangkan kepada Masjid Asma Ul Husna, di Bandar UDA Utama.

 

uda


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Johari Shukri Jamil, berkata, inisiatif ini ialah tanda komitmen terhadap sokongan padu komuniti sepanjang 50 tahun UDA bersama-sama Kerajaan Johor menerajui pembangunan hartanah mampan negeri ini.


“UDA komited untuk meneruskan pembangunan mampan dalam tempoh 50 tahun ke hadapan yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat selari dengan aspirasi negara,” katanya.


Sepanjang Promosi Jualan MeiRiah Tawaran Hebat UDA Heights selama dua hari itu, pelbagai aktiviti menarik dianjurkan termasuk pertandingan mewarna, saringan kesihatan percuma oleh KPJ Healthcare dan sesi menghias bersama IKEA Tebrau.


Orang ramai yang berminat untuk mendapatkan maklumat promosi terkini boleh mengunjungi Galeri Jualan UDA Land (South) Sdn Bhd di Wisma SBBU, Bandar Baru UDA, Johor Bahru atau layari laman web www.udaproperty.com.my.  - DagangNews.com