KUALA LUMPUR 3 Mac – UDA Holdings Berhad, syarikat pembangunan hartanah dan pengurusan aset di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), memperuntukkan lebih RM2 juta pada tahun 2026 untuk menyokong pemerkasaan usahawan tempatan.
Menurut Naib Presiden Kanan Bahagian Pelaburan dan Pengurusan Harta UDA, Mohd Nazri Jamiran, inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada seramai 625 usahawan melalui pelaksanaan program berimpak tinggi yang selaras dengan strategi KUSKOP di bawah Teras D, iaitu perluasan akses pasaran dan adaptasi teknologi.
“Pendekatan ini dirangka secara holistik dengan lebih berstruktur dan berfasa bagi memastikan usahawan mendapat akses pasaran lebih luas serta laluan perkembangan perniagaan yang mampan.
“Ia juga sejajar dengan aspirasi KUSKOP untuk memperkukuh ekosistem keusahawanan dan menjadikan Malaysia negara keusahawanan unggul,” katanya dalam satu kenyataan.
Antara program utama yang dilaksanakan termasuk Program Insentif Usahawan UDA (PIUU), UDA One Stop Retail Centre (MARi Mart), UDA Craft Corner (KIRANA) dan penyediaan ruang niaga di bawah Malaysia Entrepreneur Hub (MEH).
Program PIUU mensasarkan 500 usahawan melalui insentif sewaan lot kedai dan tapak sementara di premis UDA bagi memastikan kesinambungan operasi perniagaan.

Sementara itu, MEH menyediakan ruang niaga di lokasi strategik seperti Hab Keusahawanan Morten Walk, Kuala Lumpur Heritage Valley, dan Santai Camp di Angsana Johor Bahru Mall, dengan sasaran penyertaan 25 usahawan sebagai platform peralihan sebelum penyewaan premis secara tetap.
MARi Mart pula akan terus diperkasa sebagai saluran pemasaran produk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan dengan kemasukan 75 vendor baharu, fokus kepada penambahbaikan produk dan pengukuhan penjenamaan.
KIRANA pula menumpukan kepada konsep Satu Daerah Satu Industri (SDSI) untuk mempamerkan produk kraf tangan tempatan bagi 25 usahawan.
Bermula tahun ini, UDA memperkenalkan pendekatan pembangunan usahawan berfasa iaitu pendedahan, pemantapan dan pengukuhan membolehkan usahawan menilai kebolehpasaran produk sebelum dipertimbangkan untuk penempatan lebih kekal.
Mohd Nazri berkata selain ruang niaga fizikal, UDA turut menekankan aspek penjenamaan, pematuhan asas perniagaan dan akses platform jualan digital bagi meningkatkan daya saing usahawan.
“Kesemua inisiatif ini diharap dapat meningkatkan kelangsungan dan pertumbuhan perniagaan usahawan, sekali gus membina ekosistem keusahawanan yang tersusun dan inklusif,” katanya. - DagangNews.com








