Kepentingan sistem pesawat tanpa pemandu (UAS) dan pesawat udara tanpa pemandu (UAV) sebagai aset strategik dalam pertahanan masa hadapan bakal memberi banyak kelebihan.
Perancangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk meneruskan pembelian sistem UAS dan UAV adalah satu langkah progresif dan wajar, sejajar dengan landskap keselamatan serantau yang semakin kompleks.
Dengan strategi yang tepat dan penggunaan yang bersepadu, UAS boleh menjadi aset strategik utama ATM dalam memperkukuh kedaulatan negara.
Sehubungan itu, kenyataan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari bahawa Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) akan meneruskan rancangan perolehan UAS dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) untuk fasa dua satu keputusan strategik.

ATM sebelum ini telah membeli tiga buah UAS jenis ANKA-S buatan Turkish Aerospace Industries (TAI) melalui fasa satu yangbakan diterima tahun hadapan.
Ini sekali gus melengkapkan perancangan Pelan Pembangunan Keupayaan 2055 (CAP55) TUDM.
CAP55 ialah pelan strategik jangka TUDM yang dirangka untuk membentuk angkatan udara yang lebih moden, bersepadu, dan berkeupayaan tinggi menjelang tahun 2055.
Kementerian Pertahanan (Mindef) tegasnya mengakui kepentingan teknologi UAS dan UAV dalam meningkatkan keupayaan ATM.
Ini kerana keupayaan UAS/UAV amat penting dalam aplikasi angkatan bagi memperkukuhkan kedaulatan negara agar Malaysia sentiasa berdaulat, selamat dan makmur.


Timbalan Menteri Pertahanan berkata demikian di Parlimen semasa mengulas mengenai rancangan Mindef untuk mengintegrasi penggunaan UAV dalam sistem pertahanan udara negara.
Beliau berkata, pemodenan aset pertahanan seperti UAS akan diteruskan melalui rancangan perolehan di bawah RMK13 selaras dengan Fasa Pembangunan Angkatan Masa Hadapan (AMH) 2026-2030.
Angkatan Masa Hadapan (AMH) ATM merupakan satu pelan pembangunan strategik berteraskan 4th Dimension Malaysian Armed Forces (4D MAF).
Ia bertujuan meningkatkan keupayaan merentasi domain darat, laut, udara dan siber bagi menangani ancaman yang pelbagai secara berkesan
Menerusi pelan AMH, keupayaan ATM akan dinaiktaraf dan diperlengkap bagi memastikan kesediaan untuk operasi masa kini dan akan datang.


AMH akan dilengkapkan dengan keupayaan penting untuk menangani cabaran baharu yang muncul dalam persekitaran geostrategik yang kompleks hari ini.
Dalam konteks ini, UAV dan UAS adalah aset strategik penting dalam pertahanan masa hadapan kerana fleksibiliti, kecekapan kos dan keupayaannya untuk melaksanakan operasi kompleks tanpa risiko kepada anggota tentera.
Negara yang melabur dalam teknologi ini akan memiliki kelebihan ketenteraan yang signifikan.
Dron ANKA-S yang diperolehi oleh Malaysia itu akan memainkan peranan yang penting dalam usaha-usaha pemantauan terhadap Laut China Selatan.
Selain melaksanakan tugas risikan, pengawasan dan tinjauan (ISR), ANKA-S mempunyai kemampuan membawa empat peluru berpandu MAM Smart Micro yang dibangunkan oleh satu lagi syarikat pertahanan Turkiye, Roketsan untuk misi serangan darat.


Apabila dioperasikan nanti, ANKA-S bakal mengubah corak operasi udara ATM.
Malaysia mempunyai kawasan maritim yang luas dan sempadan darat yang panjang serta mencabar untuk dipantau secara berterusan.
Dengan mengoperasikan dron atau UAS, ini dapat memberikan liputan pengawasan yang lebih meluas dan konsisten, khususnya di Laut China Selatan, Sabah dan Sarawak.
ANKA-S yang melakukan pengawasan secara masa sebenar (real time) meningkatkan kesedaran situasional terhadap sebarang ancaman konvensional atau asimetrik seperti pencerobohan, penyeludupan, atau aktiviti nelayan asing.
TLDM sejak 2022 pula mengoperasikan 12 buah sistem UAS ScanEagle yang dibangunkan oleh syarikat Boeing-Insitu.


Sistem UAS itu disumbangkan kepada Malaysia oleh Amerika Syarikat di bawah program Maritime Security Initiative (MSI) yang bermatlamat untuk meningkatkan kemampuan pemantauan maritim. dan pertahanan negara-negara rakan Washington
Penggunaan UAS dan UAV secara berkesan telah dibuktikan dalam konflik di Ukraine termasuklah konflik sempadan India-Pakistan serta konflik Iran-Israel.
Dalam perang di Ukraine, penggunaan UAS/UAV telah mengubah taktik peperangan moden.
Kedua-dua pihak iaitu Rusia dan Ukraine menggunakan UAS/UAV yang mana aset tersebut terbukti sebagai senjata strategik, kos efektif dan sangat berkesan dalam pengumpulan maklumat, serangan tepat.
UAV digunakan secara meluas oleh kedua-dua pihak untuk mendapatkan maklumat masa nyata mengenai pergerakan musuh, posisi artileri, dan kawasan serangan.

Perang ini juga memperlihatkan penggunaan peralatan antidron, gangguan isyarat (jamming), dan sistem UAS yang saling mengganggu operasi pihak lawan.
Negara-negara serantau seperti Indonesia, Singapura, dan Vietnam juga mempergiatkan perolehan dan pembangunan UAS masing-masing.
Justeru, ATM tidak boleh ketinggalan dalam perkembangan teknologi ketenteraan global, manakala pada masa sama pihak industri perlu meneroka serta membangunkan teknologi UAS/UAV tempatan. - DagangNews.com








