U Mobile rancang terbit IPO bernilai sehingga RM12 bilion, disenaraikan awal 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

U Mobile rancang terbit IPO bernilai sehingga RM12 bilion, disenaraikan awal 2026

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 6 Mei — U Mobile Sdn Bhd merancang untuk disenaraikan di Bursa Malaysia seawal 2026 dan pada ketika ini dalam persiapan bagi menerbitkan tawaran awam permulaan (IPO) dengan penilaian disasarkan lebih RM10 bilion.


Pengendali rangkaian mudah alih (MNO) itu kata beberapa sumber, menyasarkan penilaian penerbitan antara RM11 bilion hingga RM12 bilion dan telah pun melantik CIMB Investment Bank Berhad sebagai penasihatnya.


Katanya, perancangan IPO dirangka sejak 2014 manakala permohonan penjualan saham awamnya dijangka dapat diserahkan kepada pengawal selia pada separuh kedua 2025.

 


"Draf prospektus syarikat itu dianggarkan dapat dilancarkan pada separuh kedua tahun ini, dan penyenaraian berkenaan dijangka pada akhir 2025 atau awal 2026," kata sumber tersebut.


Satu lagi sumber berkata, U Mobile menyasarkan untuk mengumpul antara RM3 bilion hingga RM4 bilion daripada jualan saham awam dan tidak akan ada sebarang tawaran untuk jualan saham.


“Pelan IPO itu telah berlangsung selama beberapa tahun dan syarikat mahu ia dapat dilaksanakan seawal 2026,” katanya.


U Mobile apabila dihubungi berkata, syarikat itu komited terhadap ketelusan dan akan menyampaikan sebarang keputusan muktamad mengenai IPO melalui saluran rasmi dalam masa terdekat.


Pada awal 2025, Pengerusinya, Tan Sri Vincent Tan berkata, syarikat itu menyasarkan untuk disenaraikan di Bursa Malaysia menjelang akhir 2025 dan merancang untuk melancarkan rangkaian 5G kedua dalam tempoh 15 hingga 18 bulan akan datang.


Beliau menegaskan, U Mobile tidak memerlukan sebarang pembiayaan daripada kerajaan atau rakan kongsi tempatan untuk memudahkan pelancaran IPO tersebut.


"Kami sedang melihat pembekal China, sama ada Huawei atau ZTE. Mereka adalah yang terbaik dari segi teknologi 5G serta akan membekalkan peralatan 5G dan menyediakan pembiayaan.


"Kami bagaimanapun perlu mengeluarkan perbelanjaan modal sendiri bersama pembiayaan daripada bank tetapi kesemuanya tu masih belum dimuktamadkan lagi," kata beliau.


IPO U Mobile bakal menjadi yang terbesar dalam sejarah lapan tahun, lebih besar daripada 99 Speed ​​Mart Retail Holdings Berhad pada September 2024, yang mengumpul RM2.36 bilion.


Pada harga RM1.65 sesaham, IPO 99 Speed ​​Mart diterjemahkan kepada permodalan pasaran sebanyak RM13.86 bilion, walaupun pengendali pasar mini itu bernilai lebih tinggi sekarang sejak harga sahamnya meningkat kepada RM2.22 pada minggu lalu.


U Mobile pula pada mulanya menyasarkan untuk disenaraikan pada 2018, tetapi tidak dapat mencari peluang bagi berbuat demikian, dan terus ditangguhkan akibat pandemik Covid-19.


Dilancarkan pada 2007, U Mobile telah meningkatkan pangkalan pelanggannya daripada kurang 50,000 kepada lebih empat juta dalam masa kurang daripada lima tahun. 


Menjelang akhir 2023, ia mempunyai lebih sembilan juta pelanggan untuk merapatkan jurang antara dirinya dan tiga syarikat teratas — Maxis Bhd, CelcomDiGi Bhd dan Celcom Axiata Bhd.


Pada 15 Januari 2025, Hong Leong Investment Bank dalam nota kajiannya berkata, U Mobile mungkin bergelut untuk melancarkan rangkaian 5G kedua, yang akan mendorong syarikat itu untuk mempertimbangkan penggabungan.


Bagaimanapun, salah satu sumber menyatakan syarikat telekomunikasi itu merancang untuk mengumpul dana sendiri melalui IPO, dan penggabungan tidak akan diperlukan.


Menurut data terkini CTOS, pemegang saham terbesar U Mobile ialah Straits Mobile Investment Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura dengan 1.025 bilion saham, atau 48.25 peratus manakala kedua terbesar ialah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dengan 22.31 peratus.


Vincent pula memegang kumulatif 13.66 peratus melalui syarikatnya Singer (Malaysia) Sdn Bhd (6.09%), U Telemedia Sdn Bhd (5.59%) dan Berjaya Infrastructure Sdn Bhd (1.98%).


Setakat ini, tidak jelas sama ada Straits Mobile kekal sebagai pemegang saham terbesar kerana ia telah merancang untuk mengurangkan kepentingannya dalam U Mobile. - DagangNews.com