KUALA LUMPUR 14 Mei — U Mobile Sdn Bhd mengesahkan komitmennya untuk terus melaksanakan rangkaian 5G kedua di Malaysia seperti ditegaskan sebelum ini setelah ia bersetuju menjual keseluruhan 100,000 sahamnya pada harga RM100,000 dalam Digital Nasional Berhad (DNB).
Syarikat perkhidmatan telekomunikasi yang dilancarkan pada 2007 dengan lebih sembilan juta pelanggan itu turut menegaskan ia komited untuk dapat mencapai sebanyak 80 peratus daripada keseluruhan liputan kawasan berpenduduk (CoPA) dalam tempoh 12 bulan.
Selain itu, operator berkenaan memberi jaminan kepada semua pelanggannya, pengalaman teknologi 5G mereka tidak akan terjejas oleh isu penarikan keluar daripada Perjanjian Pemegang Saham (SHA) kerana syarikat masih terus mengekalkan Perjanjian Akses borong 5G dengan DNB.
"Langkah ini juga membolehkan syarikat menawarkan perkhidmatan 5G secara komersial sambil dapat menggunakan rangkaian 5G sendiri serta memastikan pengalaman 5G yang lancar untuk para pelanggan kami," kata U Mobile dalam satu kenyataan hari ini.
Artikel berkaitan: 100,000 saham U Mobile dalam DNB diagihkan kepada CelcomDigi, Maxis, YTL Power, MOF Inc
Pada 1 November 2024, U Mobile telah dilantik oleh Kementerian Komunikasi untuk melaksanakan rangkaian 5G kedua negara, berikutan keputusan kerajaan yang masih terus mengguna pakai model rangkaian 5G dwi bagi menggalakkan persaingan.
Bagaimanapun dalam surat bertarikh 13 Mei 2025, Menteri Kewangan Inc (MOF Inc), CelcomDigi, Maxis dan YTL Power bersetuju mengubah syarat tertentu dalam SHA yang ditandatangani pada 28 Jun 2024 dengan perubahan tersebut dijangka selesai pada 30 Mei 2025.
Menerusi kenyataan terbaharu itu, U Mobile turut mengesahkan akan keluar daripada SHA dengan melepaskan keseluruhan 100,000 sahamnya dalam DNB dengan jumlah pertimbangan RM100,000 sebagai sebahagian peralihan syarikat sebagai penyedia rangkaian 5G terbaharu negara.
"U Mobile tidak sabar menyediakan sambungan yang dipertingkatkan dan perkhidmatan inovatif kepada semua rakyat Malaysia melalui rangkaian 5G kedua serta menyumbang kepada masa depan yang kompetitif selain diperkasakan secara digital untuk Malaysia," katanya. - DagangNews.com








