KUALA LUMPUR 6 Okt – Laporan Ketua Audit Negara 2024 (LKAN) mendedahkan kelemahan dalam kawalan pembayaran dan pengurusan aset di Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) termasuk tuntutan tanpa invois pembekal dan pembelian peralatan yang tidak dibekalkan.
Selain itu kebergantungan berterusan kepada kapal lama yang menjejaskan keberkesanan operasi turut dibangkitkan LKAN 3/2025 berhubung Penyata Kewangan Kerajaan 2024,
Kelemahan kawalan pembayaran oleh APMM yang dikenal pasti ialah tuntutan berjumlah RM32.34 juta tanpa dokumen invois pembekal, bayaran RM59,800 bagi peralatan yang tidak dibekalkan dan RM144,536 dibayar untuk barangan yang tidak menepati spesifikasi.
Menurut laporan itu APMM tidak melaksanakan dua ujian teknikal utama iaitu Harbour Acceptance Test (HAT) dan Sea Acceptance Test (SAT) sebelum penerimaan aset.
Ketiadaan ujian ini menyebabkan beberapa bot tidak dapat beroperasi dan memerlukan pembaikan dalam tempoh waranti, dengan skop kerja bernilai RM173,075.
Audit turut menyatakan kebimbangan terhadap penggunaan aset maritim lama, yang meningkatkan risiko operasi serta membebankan belanjawan penyelenggaraan.
Pada tahun 2024, APMM telah membelanjakan RM229.93 juta untuk kapal berusia lebih 30 tahun; dan RM78 juta bagi bot berusia antara 11 hingga 20 tahun.
Laporan juga menunjukkan kerja baik pulih kapal secara berfasa tanpa perancangan menyeluruh telah menyebabkan kos tambahan sebanyak RM8.88 juta.
Penalti kelewatan sebanyak RM2.27 juta daripada kontraktor yang gagal menyiapkan kerja dalam tempoh ditetapkan masih belum dikutip oleh APMM.
"Secara keseluruhan, penemuan ini menunjukkan keperluan APMM memperkukuh perancangan, pematuhan kewangan dan kawalan kontrak bagi memastikan perbelanjaan pembangunan digunakan secara cekap dan memberikan nilai terbaik kepada kerajaan," katanya.
Bagi menangani kelemahan, Ketua Audit Negara mengemukakan beberapa cadangan antaranya merancang dan menyelaras penyelenggaraan kapal secara menyeluruh bagi mengoptimumkan penggunaan belanjawan dan mengelakkan peningkatan kos akibat kerja naik taraf berfasa.
APMM perlu memastikan penalti lewat daripada kontraktor dikutip dan semua tuntutan disokong dengan invois pembekal serta mewujudkan jadual harga standard bagi mengelakkan caj berlebihan.
Selain itu APMM perlu meluluskan bayaran penyelenggaraan hanya selepas ujian HAT dan SAT disempurnakan, sejajar dengan amalan kejuruteraan terbaik dan prosedur penerimaan aset. - DagangNews.com








