KUALA LUMPUR 24 Okt – MAA Group Bhd (MAAG), yang memiliki hampir satu perlima pegangan dalam KNM Group Bhd, kini membuat usaha terakhir untuk mendapatkan sokongan terhadap cadangannya menjual aset utama KNM, Deutsche KNM GmbH (DKNM) sebagai jalan keluar daripada kemelut kewangan syarikat tersebut.
Pengerusi Eksekutif MAAG yang juga merupakan Pengerusi KNM, Tunku Yaacob Khyra (gambar), berkata kegagalan melaksanakan pelan itu bakal menyebabkan para pemegang saham “pulang tangan kosong, tanpa apa-apa”.
“Secara jujur, ketika ini KNM tidak mempunyai banyak nilai. Untuk memastikan masa depan syarikat, suntikan dana atau pelaburan segera amat diperlukan. Kami telah berunding dengan bersungguh-sungguh bagi mencapai penyelesaian bersama para pemiutang.
"Penjualan ini akan membolehkan kami memberi tumpuan agresif kepada strategi pertumbuhan,” katanya lapor The Malaysian Reserve.
MAAG kini menggesa para pemegang saham KNM untuk menyokong cadangan penjualan Deutsche KNM GmbH (DKNM) – syarikat induk kepada Borsig GmbH yang berpangkalan di Jerman – sambil memberi amaran bahawa kegagalan berbuat demikian boleh menggagalkan rancangan penstrukturan semula KNM.
Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) bagi membincangkan perkara itu dijadualkan berlangsung pada 30 Oktober ini.
Dalam kenyataan bertarikh 14 Oktober, MAAG menegaskan kegagalan memenuhi syarat jualan menjelang 30 Oktober akan menyebabkan KNM kehilangan baki modal kerja sebanyak RM100 juta yang sebelum ini dipersetujui bersama pemiutang, sekali gus berisiko mendorong pemiutang melantik likuidator bagi menyelesaikan penjualan DKNM dan aset-aset lain.
Pada Februari lalu, syarikat yang kekurangan tunai dan diklasifikasikan di bawah PN17 itu memaklumkan anak syarikat milik penuhnya, KNM Process Systems Sdn Bhd (KNMPS), telah memperoleh persetujuan NGK Insulators Ltd dari Jepun untuk membeli aset utama KNM di Jerman dengan nilai €270 juta (kira-kira RM1.245 bilion).
Cadangan jualan itu diklasifikasikan sebagai pelupusan utama di bawah keperluan penyenaraian Bursa Malaysia, dan memerlukan kelulusan sekurang-kurangnya 75% pemegang saham.
Pelan tersebut akan menamatkan percubaan terdahulu untuk menyenaraikan Borsig melalui tawaran awam permulaan (IPO).
Perjanjian itu dimeterai kira-kira enam bulan selepas bilionair Jerman, Andreas Heeschen, bersama Tunku Kamariah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar — kakak sulung kepada Yang di-Pertuan Agong sekarang — menarik diri daripada usaha mengambil alih KNM yang gagal.
MAAG memiliki 19.37% pegangan dalam KNM. Kumpulan itu terlibat dalam pelbagai sektor termasuk insurans hayat dan am konvensional, unit amanah, takaful keluarga dan am, pengurusan aset, amanah, pengurusan hartanah, teknologi maklumat dan perkhidmatan keselamatan.
Pada Jun 2015, MAAG menjual 75% pegangan dalam MAA Takaful Bhd (kini dikenali sebagai Zurich Takaful Malaysia Bhd) kepada Zurich Insurance. Kemudian pada November 2023, syarikat itu menjual 85% pegangan dalam MAA General Assurance Philippines Inc.
Dalam kenyataan pada 23 Oktober, Bursa Malaysia Securities Bhd mengeluarkan nasihat kawal selia agar MAAG mematuhi semua keperluan undang-undang dan penyenaraian ketika memanggil EGM untuk mengundi mengenai cadangan pelupusan DKNM.
Dalam pemakluman kepada Bursa, KNM berkata pihak pengawal selia menekankan bahawa MAAG, sebagai pemegang saham utama KNM, mesti melaksanakan EGM di bawah Seksyen 313 Akta Syarikat 2016 “dengan cara yang hampir sama” seperti mesyuarat yang dipanggil oleh pengarah-pengarah KNM.
Bursa turut memaklumkan bahawa rancangan pemulihan KNM, termasuk cadangan pelupusan DKNM, telah ditolak pada 3 Oktober, namun KNM mengemukakan rayuan pada 7 Oktober untuk meneruskan pelupusan tersebut dan mencadangkan pengurangan modal saham sebagai sebahagian daripada cadangan korporat sementara di bawah Perenggan 8.04(3A) Peraturan Penyenaraian Utama (Main LR). Bursa Malaysia masih belum membuat keputusan berhubung rayuan itu.
Ditanya bagaimana, suntikan tunai akan digunakan Tunku Yaacob berkata strategi kebangkitan semula ini menumpukan kepada pemulihan keupayaan operasi tempatan dan pengukuhan semula kedudukan syarikat sebagai pengeluar peralatan pemprosesan terkemuka dengan pengalaman lebih 35 tahun dalam industri.
“Sebaik sahaja suntikan modal kerja diterima, KNM akan berupaya menarik lebih banyak projek baharu, mengaktifkan semula kilang-kilang kami dan beroperasi semula pada kapasiti penuh. Kilang-kilang kami mampu mengendalikan sehingga 50,000 tan metrik kerja fabrikasi setahun. Dengan keupayaan fabrikasi di tapak (on-site fabrication), syarikat turut berupaya memperluas kapasiti pengeluaran" katanya.
"Kami akan menghidupkan semula perniagaan kejuruteraan, fabrikasi dan peralatan proses sedia ada, meningkatkan kadar penggunaan kapasiti kilang bagi memaksimumkan pengeluaran, membina semula hubungan jangka panjang dengan pelanggan tempatan, khususnya dalam sektor minyak & gas serta tenaga boleh baharu, memodenkan kemudahan fabrikasi dengan teknologi dan mesin terkini; serta memperluas pengeluaran sistem proses modular dan bejana tekanan bagi memenuhi permintaan projek domestik dan serantau," katanya.
Beliau menambah, selain menyokong pertumbuhan operasi, suntikan dana ini juga akan membolehkan KNM mengambil semula pekerja mahir yang terpaksa dilepaskan dalam tempoh tiga tahun kewangan lalu.
“Kebanyakan daripada mereka telah lama berkhidmat bersama KNM, dan saya tidak ragu mereka akan kembali apabila KNM kembali kukuh,” katanya. - DagangNews.com








