Tunku Tun Aminah dilantik sebagai Pengerusi U Mobile, Mawar Setia kini pemegang saham majoriti | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tunku Tun Aminah dilantik sebagai Pengerusi U Mobile, Mawar Setia kini pemegang saham majoriti

TUNKU TUN AMINAH SULTAN IBRAHIM ISMAIL
Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 17 MacTunku Tun Aminah Sultan Ibrahim Ismail dilantik sebagai Pengerusi U Mobile Sdn Bhd berkuat kuasa 13 Mac 2026, sekali gus memperkukuh kepimpinan dan tadbir urus syarikat telekomunikasi itu ketika ia memasuki fasa pertumbuhan seterusnya.


Pelantikan tersebut menyusul selepas Tan Sri Vincent Tan Chee Yioun melepaskan jawatan Pengerusi berkuat kuasa 12 Mac 2026, dan kini akan berperanan sebagai Pengasas serta Penasihat kepada Lembaga Pengarah bagi terus menyokong hala tuju strategik syarikat.

 

 

 

 

 


Dalam makluman hari ini, U Mobile Sdn Bhd turut mengumumkan bahawa Mawar Setia Sdn Bhd kini menjadi pemegang saham majoriti selepas pegangan syarikat pelaburan tempatan itu meningkat melebihi 50%.


Perkembangan tersebut susulan penyempurnaan perjanjian jual beli saham antara Singapore Technologies Telemedia Pte Ltd (STT) dan Mawar Setia.


Menurut syarikat, perubahan pemilikan itu meningkatkan penglibatan tempatan dalam salah satu pengendali mudah alih dan jalur lebar utama negara ketika ia meneruskan pembangunan rangkaian telekomunikasi generasi baharu.


Mengulas perubahan dalam lembaga pengarah, Vincent Tan berkata langkah tersebut mencerminkan komitmen syarikat untuk membangunkan infrastruktur digital yang boleh dipercayai, berskala dan dilaksanakan tepat pada masanya.


“Kami memberi tumpuan kepada pengukuhan tadbir urus dan sokongan pembiayaan jangka panjang supaya pasukan pengurusan dapat mempercepat pelaksanaan rangkaian serta memenuhi sasaran liputan bagi rangkaian 5G kedua negara,” katanya.

 

 

 

 

 


Beliau turut memaklumkan kemajuan pembangunan rangkaian syarikat tersebut berjalan lancar dan kini mendahului jadual pelaksanaan.


Mawar Setia merupakan syarikat pegangan pelaburan Malaysia yang diasaskan oleh Vincent Tan dan Tunku Tun Aminah sendiri. - DagangNews.com