KUALA LUMPUR 24 Feb – Mawar Setia Sdn Bhd mengambil langkah strategik dalam sektor telekomunikasi Malaysia dengan membeli lebih 50 peratus saham U Mobile Sdn Bhd, menjadikannya sebagai pemilik utama syarikat itu.
Mawar Setia adalah sebuah syarikat pegangan pelaburan Malaysia yang dimiliki 70% oleh Tan Sri Vincent Tan dan 30% oleh YAM Tunku Tun Aminah Sultan Ibrahim.
Pengambilalihan ini terus memperkukuhkan pemilikan tempatan dalam salah satu pengendali utama perkhidmatan mudah alih dan menyokong peluasan rangkaian 5G di seluruh negara.
Transaksi ini membolehkan Mawar Setia membeli saham daripada Straits Mobile Investments Pte Ltd, sekaligus menjadikan mereka pemegang saham kawalan U Mobile.
Dalam usaha menyokong pengambilalihan ini, Kumpulan AFFIN dan MBSB Bank Berhad telah bersama-sama menyalurkan pembiayaan berjumlah RM3.8 bilion.
Daripada jumlah tersebut, Kumpulan AFFIN membiayai sebanyak RM2.4 bilion manakala MBSB Bank menyumbang RM1.4 bilion.
Dalam satu kenyataan bersama, kedua-dua bank itu berkata pembiayaan ini akan digunakan sebahagiannya untuk membiayai pembelian saham oleh Mawar Setia.
U Mobile telah dilantik untuk melaksanakan rangkaian 5G kedua negara dan terus memperluas infrastruktur ULTRA5G melalui kerjasama teknologi strategik bersama Huawei Technologies Co Ltd dan ZTE Corporation dari China.
Antara pencapaian terkini termasuk penyediaan liputan ULTRA5G di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur serta pelancaran eSIM Pelancong ULTRA5G 24 jam dengan tawaran data 100GB, mencerminkan kemajuan berterusan dalam peluasan rangkaiannya.
ARTIKEL BERKAITAN: Harga RM14 bilion disifatkan `tidak masuk akal', rundingan Maxis-U Mobile mungkin gagal
Sementara itu, Vincent Tan berkata fasa pertumbuhan seterusnya akan ditentukan oleh keupayaan pelaksanaan khususnya dalam membangunkan infrastruktur digital yang boleh dipercayai, berskala dan disiapkan mengikut jadual.
“Melalui pengambilalihan ini, Mawar Setia meningkatkan penyertaan Malaysia dalam aset strategik negara serta memikul tanggungjawab yang lebih besar untuk menyokong pelaksanaan rangkaian 5G U Mobile di seluruh negara.
“Tumpuan kami adalah memperkukuh tadbir urus dan sokongan pembiayaan jangka
panjang supaya pasukan pengurusan dapat mempercepat pelaksanaan serta memenuhi jangkaan liputan bagi rangkaian 5G kedua negara.
“Kami komited mengekalkan disiplin pelaburan dan fokus operasi ketika U Mobile melangkah ke fasa pembangunan seterusnya. Saya juga berbesar hati untuk berkongsi bahawa U Mobile menunjukkan kemajuan yang baik dan mendahului jadual pelaksanaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AFFIN, Datuk Wan Razly Abdullah pula berkata pihaknya berbesar hati dapat menyumbang kemudahan pembiayaan itu sebagai pembiaya terbesar dengan komitmen sebanyak RM2.4 bilion.
“Pembiayaan ini memperkukuh kapasiti infrastruktur digital jangka panjang Malaysia serta menyokong fasa pertumbuhan seterusnya U Mobile melalui penyertaan domestik yang lebih mendalam.
“Selaras dengan Pelan AFFIN Axelerate 2028 yang berteraskan Perkhidmatan Pelanggan Unggul, Kepimpinan Digital dan Perbankan Bertanggungjawab Berimpak, kami akan terus menyokong pembangunan ekosistem digital yang selamat dan berdaya tahan demi masa depan negara,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Berhad, Rafe Haneef berkata pembiayaan ini menyokong perubahan pegangan kawalan pada satu tahap penting dalam hala tuju U Mobile serta aspirasi digital Malaysia.
“Komitmen RM1.4 bilion oleh MBSB mencerminkan fokus kami terhadap transaksi yang memperluas capaian digital sebagai asas kepada peningkatan produktiviti, daya saing dan keterangkuman merentas
isi rumah, PKS dan industri,” katanya. - DagangNews.com








