KUALA LUMPUR 10 Mac – Tune Talk melancarkan rangkaian mudah alih berasaskan teknologi awan pertama di Malaysia yang dibangunkan di atas platform Amazon Web Services (AWS) yang menjadi satu transformasi besar syarikat itu dalam menyokong teknologi telekomunikasi generasi baharu.
Rangkaian teras ini memainkan peranan penting dalam memastikan panggilan, internet, pengebilan dan pengesahan pelanggan berjalan lancar. Dengan teknologi awan, semua sistem tersebut lebih fleksibel dan mudah diskalakan berbanding infrastruktur tradisional.
Sebagai sebahagian daripada transformasi digital, Tune Talk bekerjasama dengan Nokia untuk membangunkan rangkaian 5G sepenuhnya, manakala Mavenir membantu menyediakan sistem operasi dan sokongan perniagaan yang lebih canggih. Semua sistem ini dihoskan di AWS Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Tune Talk, Gurtaj Singh Padda berkata pelancaran rangkaian berasaskan awan itu adalah hasil strategi syarikat sejak 2024.
“Pada tahun tersebut, Tune Talk memindahkan operasi daripada server fizikal ke awan, menjadi yang pertama di Malaysia yang berbuat demikian.
“Dengan pelancaran rangkaian teras berasaskan awan pertama di Malaysia di AWS bersama Nokia dan Mavenir, Tune Talk kini berkembang daripada sekadar pengendali mudah alih kepada penyedia telekomunikasi berasaskan perisian yang bersedia untuk era kecerdasan buatan (AI).
“Dengan rangkaian, operasi dan platform pelanggan kami beroperasi di AWS, kami kini mempunyai keupayaan untuk menyesuaikan perkhidmatan dengan lebih pantas selaras dengan perubahan keperluan pelanggan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menerusi sistem itu, Tune Talk kini mampu menambah ciri baharu seperti pelan data atau perkhidmatan tambahan dalam tempoh beberapa hari, berbanding beberapa bulan sebelum ini.
Rangkaian ini juga meningkatkan kestabilan dan prestasi sambungan di mana pelanggan akan mengalami pengalaman yang lebih lancar untuk panggilan, internet, dan perayauan, termasuk ketika rangkaian 5G digunakan.
Selain itu, Tune Talk menjadi penyedia telekomunikasi pertama di ASEAN yang menggunakan AWS Outposts untuk memproses trafik rangkaian dengan latensi ultra rendah. Teknologi ini memastikan sambungan masa nyata lebih pantas dan responsif.
Infrastruktur ini juga menyediakan asas untuk pengembangan ciri dan perkhidmatan baharu di masa depan, termasuk sokongan edge computing yang penting untuk aplikasi digital masa kini.
Langkah ini menandakan permulaan perjalanan Tune Talk ke arah rangkaian berasaskan kecerdasan buatan (AI). Dengan AI, syarikat boleh mengautomasikan operasi rangkaian dan menyediakan perkhidmatan yang lebih pintar dan berasaskan data.
Sementara itu, Pengurus Negara AWS Malaysia, Hussein Mohd Ali berkata transformasi ini menunjukkan bagaimana teknologi awan mengubah cara rangkaian telekomunikasi dibina dan diurus.
“Tune Talk kini lebih fleksibel, pantas, dan bersedia menghadapi cabaran digital masa depan,” katanya.
Sejak penubuhannya pada 2009, Tune Talk terus menawarkan perkhidmatan mudah alih mampu milik dan inovatif. Pelancaran rangkaian berasaskan awan ini membuktikan komitmen syarikat untuk terus berada di barisan hadapan industri telekomunikasi di Malaysia.- DagangNews.com








