KUALA LUMPUR 28 Mei — Tune Protect Group Berhad mencatatkan keuntungan bersih pada suku pertama tahun ini dengan pertumbuhan lebih 100 peratus kepada RM7.4 juta tahun ke tahun (y-o-Y) yang dipacu oleh peningkatan perkhidmatan insuransnya.
Kumpulan tersebut berkata, pertumbuhan secara ketara untung bersih selepas cukai (PAT) itu turut sejajar dengan pengurangan 16.4 peratus dalam nisbah gabungan terutamanya didorong oleh tuntutan tertanggung bersih yang lebih rendah.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, How Kim Lian berkata, perkembangan positif itu terutamanya disebabkan oleh pengalaman lebih baik daripada pelbagai tuntutan insurans yang semakin menggalakkan untuk segmen motor dan kebakaran.
“Secara keseluruhan, Tune Protect menunjukkan daya tahan kewangan dengan trend positif dan pertumbuhan yang lebih 100 peratus dalam PAT YoY selain dipacu oleh peningkatan jumlah hasil dan perbelanjaan lain,” katanya dalam kenyataan.
Sebagai perbandingan bagi suku yang sama pada tahun sebelumnya, kumpulan tersebut merekodkan Kerugian Selepas Cukai (LAT) sebanyak RM3.9 juta YoY.
Untuk 1QFY25 pula, berlaku penurunan sedikit dalam hasil insurans sebanyak 6.5 peratus kepada RM88.5 juta sebahagiannya dikurangkan oleh kenaikan wajaran dalam portfolio Perjalanan Kumpulan.

Walaupun kos pemerolehan lebih tinggi, keadaan tersebut masih lagi diimbangi dengan peningkatan dalam tuntutan dan perbelanjaan yang boleh diagihkan.
"Nisbah gabungan merupakan satu lagi sorotan kewangan utama apabila terus bertambah baik didorong oleh tuntutan ditanggung bersih lebih rendah dan perbelanjaan yang boleh diagihkan sebanyak 93.4 peratus," kata Kim Lian.
Sebaliknya tambah beliau, bahagian negatif keputusan yang dicatatkan syarikat bersekutu Tune Protect di Thailand adalah disebabkan oleh tuntutan kesan gempa bumi di Myanmar, menyebabkan gegaran susulan di Thailand pada 1Q25.
Memandangkan gelombang prestasi kewangan yang membanggakan, keuntungan kumpulan berkenaan semakin kukuh dibuktikan oleh aliran positif Untung Sebelum Cukai (PBT).
Ini diterajui oleh pengalaman tuntutan yang menggalakkan daripada insurans motor dan kebakaran sebagai tambahan kepada usaha berterusan kumpulan dalam segmen perjalanan.
Kumpulan itu turut merekodkan RM10.6 juta dalam PBT pada 1QFY25 dengan trend positif diperhatikan dalam tempoh tiga suku yang terakhir. - DagangNews.com








