TUDM tempatkan kesemua pesawat Hawk ke Labuan sebagai persediaan terima FA-50M buatan Korea Selatan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TUDM tempatkan kesemua pesawat Hawk ke Labuan sebagai persediaan terima FA-50M buatan Korea Selatan

Dua buah pesawat Hawk 108/208 TUDM.
Oleh Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 27 Feb - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) menyusun semula aset pesawat tempurnya sebagai persediaan untuk menerima kehadiran pesawat baharu FA-50M.

 

Sebanyak 18 buah pesawat tempur ringan (FLIT-LCA) FA-50M ini bakal diterima TUDM secara berperingkat-peringkat bermula Oktober tahun hadapan.

 

 

Penyusuan semula ini menyaksikan No. 6 Skuadron yang berpangkalan di Labuan, Sabah akan menggalas sepenuhnya tanggungjawab mengoperasikan pesawat Hawk Mk 108/208.

 

Difahamkan TUDM mengoperasikan 12 Hawk 208 dan 4 Hawk 108 jenis 2 tempat duduk.

 

Pesawat
Penyerahan pesawat Hawk antara Lt Kol Mohd Khairul Azrin Mohd Tuah (kiri) kepada Lt Kol Zulkifli Mohamad disaksikan Komander Pangkalan Butterworth, Brig Jen Khairol Muzambi Salehin.

 

Pesawat
Model pesawat FA-50M dengan corak warna TUDM.

 

Upacara serah terima pesawat tersebut telah diadakan antara No. 15 Skuadron dan No. 6 Skuadron di Pangkalan Udara Butterworth, Pulau Pinang pada Isnin lalu.

 

Penyerahan ini menandakan peralihan tanggungjawab pengoperasian pesawat Hawk Mk 108/208 secara rasmi kepada No. 6 Skuadron.

 

Ia disempurnakan antara kedua-dua pegawai memerintah iaitu Lt Kol Mohd Khairul Azrin Mohd Tuah dari No 15 Skuadron kepada Lt Kol Zulkifli Mohamad (No 6 Skuadron).

 

Fasa penerimaaan pesawat FA-50M bermula Oktober nanti apabila TUDM akan menghantar 6 juruterbang ke Korea Selatan menjalani latihan intensif untuk membiasakan diri dengan sistem operasi pesawat.

 

Pesawat

 

Ia disusuli 51 anggota kejuruteraan pada Januari tahun hadapan sekali gus memastikan kesiapsiagaan teknikal pesawat dalam perkhidmatan TUDM kelak.

 

Skuadron Hawk telah beroperasi di Butterworth sejak 1994.

 

Dengan penyerahan ini, pesawat Hawk Mk 108/208 akan mendukung sepenuhnya misi pertahanan udara negara di wilayah Malaysia Timur.

 

Kerajaan Malaysia pada tahun 1990 bersetuju membeli 28 buah pesawat Hawk 108/208 dari United Kingdom sebagai salah satu daripada program pemodenan TUDM masa itu.

 

Sepanjang perkhidmatannya, pesawat Hawk telah dioperasikan oleh tiga buah skuadron iaitu No 6 Skuadron, No 9 Skuadron dan No 15 Skuadron. 

 

Pesawat

 

Pesawat

 

Pesawat
Pesawat Hawk telah dioperasikan TUDM sejak tahun 1994.

 

Antara operasi terbesar melibatkan Hawk adalah Ops Daulat pada Mac 2013 apabila 5 buah pesawat Hawk ditugaskan melancarkan serangan bom ke kawasan persembunyian pengganas di Lahad Datu. 

 

Susulan insiden pencerobohan ini, No 6 Skuadron dipindahkan dari Pangkalan Udara Kuantan ke Labuan untuk menjaga keselamatan di Sabah dan Sarawak.

 

Hawk juga diguna sebagai pesawat latihan lanjutan bagi kursus peralihan pesawat pejuang yang dioperasikan oleh No 15 Skuadron di Butterworth

 

Pesawat

 

Bakal juruterbang pesawat pejuang dilatih di sini sebagai persediaan sebelum melayakkan mereka untuk mengendalikan pesawat-pesawat pejuang yang lain dalam TUDM.

 

TUDM akan terus menggunakan pesawat Hawk 108/208 sehingga pesawat FA-50M diterima sepenuhnya sepertimana yang telah ditetapkan. - DagangNews.com