KUALA LUMPUR 7 Ogos – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memberi amaran akan mengenakan tarif sebanyak 100% ke atas cip dan semikonduktor yang diimport kecuali syarikat pengeluar bahan itu melabur dan membina fasiliti pengeluaran di Amerika Syarikat (AS).
Langkah pengenaan tarif sektor-spesifik ini dilihat sebagai sebahagian daripada usaha Trump untuk meningkatkan tekanan ke atas syarikat agar memindahkan pengeluaran mereka kembali ke dalam negara.
Bagaimanapun, perincian mengenai pelan tersebut – termasuk tahap pelaburan atau pengeluaran yang diperlukan bagi melayakkan syarikat dikecualikan daripada tarif – masih belum diperjelaskan.
“Kita akan mengenakan tarif yang sangat besar ke atas cip dan semikonduktor, namun ia tidak akan terpakai ke atas syarikat yang telah membuat komitmen untuk membina fasiliti pengeluaran di AS atau yang sedang dalam proses melaksanakannya.
"Jika atas apa-apa sebab anda menyatakan bahawa anda sedang membina, tetapi akhirnya tidak membina, maka kita akan kembali semula, kira semula, dan ia akan terkumpul. Kita akan kenakan bayaran pada masa akan datang, dan anda tetap perlu membayarnya – itu jaminan," kata Trump dalam satu kenyataan.
Pengumuman itu segera mempengaruhi pasaran saham global termasuk di Bursa Malaysia yang menyaksikan saham-saham teknologi dilihat mengalami tekanan.
Ketika dagangan dibuka hari ini, kaunter berkaitan semikonduktor berada dalam kedudukan lemah dengan beberapa syarikat utama mencatatkan penyusutan ketara.
Antaranya, saham Frontken Corp Bhd merosot tujuh sen kepada RM4.29, Pentamaster Corp Bhd jatuh 14 sen kepada RM3.60 manakala Unisem (M) Bhd susut enam sen kepada RM2.31.
Di Korea Selatan, saham syarikat pengeluar cip, SK Hynix Inc. susut sebanyak 3.1% pada awal dagangan selepas pengumuman itu.
SK Hynix merupakan pembekal utama kepada syarikat gergasi teknologi AS, Nvidia Corp, khususnya bagi cip memori jalur lebar tinggi (high-bandwidth memory) yang digunakan dalam cip kecerdasan buatan (AI).
Langkah tarif agresif itu mencetuskan kebimbangan terhadap gangguan dalam rantaian bekalan semikonduktor global, sekali gus memberi tekanan ke atas saham-saham pengeluar cip di rantau Asia. - DagangNews.com








