Trump isytihar kerjasama kukuh dengan Asean pada Sidang Kemuncak ke-47 di Kuala Lumpur | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Trump isytihar kerjasama kukuh dengan Asean pada Sidang Kemuncak ke-47 di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR 26 Okt - Amerika Syarikat komited untuk kekal menjadi rakan kongsi dan sahabat kukuh kepada negara-negara Asean “untuk generasi akan datang”, kata Presidennya, Donald Trump.

 

“Setahun lalu, kita berada dalam kedudukan berbeza, tetapi kini kita berada dalam kedudukan terbaik yang pernah dicapai,” katanya dalam ucapan pembukaan Sidang Kemuncak Asean-AS ke-13 yang diadakan bersempena Sidang Kemuncak Asean ke-47 di ibu negara hari ini.

 

Beliau menggambarkan tempoh semasa sebagai “Zaman Keemasan Amerika”, dan bersama-sama semua pihak boleh mewujudkan kemakmuran luar biasa bagi negara-negara di kedua-dua belah Lautan Pasifik serta merebut peluang baharu untuk semua rakyat.

 

“Saya berada di sini hanya sehari, tetapi ia satu pengalaman menakjubkan melihat sendiri pencapaian yang telah kita lakukan.

 

“Dan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) memastikan saya melihat semuanya, setiap satu perkara.

 

“Kami malah menaiki kereta bersama,” kata Trump sambil tersenyum.

 

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pemimpin Asean, khususnya Anwar, atas penganjuran sidang kemuncak tersebut.

 

“Seperti yang anda tahu, ini merupakan hari yang amat berjaya bagi Malaysia. Suatu penghormatan besar untuk saya berada di sini.

 

“Saya pernah berjanji untuk hadir apabila Perdana Menteri membantu kami dengan begitu baik dalam rundingan perjanjian damai antara dua negara yang kuat — saya rasa kita boleh sebut begitu sekarang,” katanya.

 

Terdahulu, Trump menyaksikan perjanjian damai antara Thailand dan Kemboja yang dikenali sebagai Kuala Lumpur Peace Accords bersama Anwar.

 

“Dan kini saya di sini, benar-benar teruja melihat apa yang telah anda capai. Amerika Syarikat menyokong semua negara di rantau hebat ini.

 

“Kami semua memerhati dan menyaksikan apa yang sedang berlaku. Terima kasih banyak,” katanya.

 

Trump turut mengucapkan tahniah atas kejayaan negara-negara Asean yang bersetuju menghantar pemerhati bagi memastikan keamanan berkekalan dan penyelesaian antara Thailand dan Kemboja.

 

“Menandatangani perjanjian hari ini hanyalah satu daripada lapan konflik yang telah kita tamatkan dalam tempoh lapan bulan.

 

“Presiden Trump berasa amat dihormati kerana berpeluang menyelamatkan berjuta-juta nyawa.

 

“Itu juga termasuk penamatan perang di Gaza… satu perjanjian yang melibatkan 59 negara. Ramai daripada mereka turut berada di meja ini — termasuk Indonesia, sahabat saya yang sangat saya hargai,” tambah beliau. - DagangNews.com