KUALA LUMPUR 3 Dis – Padini Holdings Bhd dijangka terus mendapat manfaat daripada trend berjimat pengguna, apabila rakyat beralih kepada pilihan produk lebih mampu milik berikutan tekanan ekonomi, menurut penganalisis.
CIMB Securities berkata, fokus Padini terhadap pasaran massa meletakkan syarikat pada kedudukan baik untuk mengekalkan permintaan produk walaupun keadaan ekonomi mencabar.
Firma itu menyifatkan margin Padini kekal teguh, disokong oleh pengukuhan ringgit dan trend pengguna beralih kepada pilihan lebih murah.
“Padini sedang memperluas rangkaian produk dengan menambah lebih banyak unit stok dalam kategori margin tinggi dan permintaan tinggi seperti pakaian dalam dan pakaian terpilih, disokong peluasan kategori pakaian sukan dan kolaborasi jenama IP untuk meningkatkan produktiviti kedai,” kata CIMB Securities dalam nota penyelidikan.
Dalam suku pertama (1Q) FY26, Padini mencatat pendapatan meningkat 2% tahun ke tahun, hasil daripada lima pembukaan kedai baharu bersih, yang mengimbangi penurunan 1% jualan kedai sama.
Margin keuntungan kasar meningkat 4.3 mata peratusan kepada 39.9%, didorong oleh campuran jualan lebih menguntungkan, pengurangan diskaun dan kesan positif pengukuhan ringgit berbanding yuan China.
Bagaimanapun, keuntungan bersih teras kekal stabil pada RM20.7 juta akibat kenaikan kadar cukai efektif kepada 34.6% daripada pembalikan aset cukai tangguh berkaitan keuntungan pertukaran asing.
Padini juga menanggung tambahan RM2 juta perbelanjaan sewa pada 1Q susulan pelaksanaan SST 8% ke atas penyewaan.
CIMB Securities menjangkakan permintaan terhadap produk Padini akan kekal teguh disebabkan kedudukannya dalam pasaran massa.
Saham Padini kini diniagakan pada RM1.83, turun 17% setakat tahun ini, namun gandaan harga kepada pendapatan (PE) satu tahun hadapan sebanyak 10.8 kali dianggap menarik, 18.7% di bawah purata lima tahun dan 32.2% di bawah purata 10 tahun.
Syarikat mempunyai tunai bersih RM748 juta, bersamaan 42% daripada nilai pasaran saham, menyokong hasil dividen antara 4.5% hingga 4.8% bagi FY26 hingga FY28.
CIMB Securities mengekalkan saranan “beli” dengan harga sasaran RM2.40, tanpa perubahan unjuran pendapatan sesaham FY26 hingga FY28.
Sementara itu, BIMB Securities menekankan Malaysia kekal sebagai penyumbang utama pendapatan Padini, manakala operasi luar negara masih mencatat kerugian.
Rancangan FY26 syarikat termasuk 11 pengubahsuaian kedai dan lima hingga enam pembukaan kedai baharu, dengan perbelanjaan modal antara RM50 hingga RM70 juta.
Pengurusan Padini turut menekankan sentimen pengguna kekal berhati-hati, walaupun kerajaan melaksanakan langkah seperti rasionalisasi subsidi bahan api dan Sumbangan Asas Rahmah RM100.
BIMB Securities memuji disiplin operasi Padini yang berjaya menyesuaikan harga dengan sentimen pasaran, menghasilkan margin kasar 40%, berada di hujung atas sasaran 36% hingga 40%.
“Kesimpulannya, kami mengekalkan saranan BELI dengan TP RM2.40,” kata firma itu. - DagangNews.com








