KUALA LUMPUR 31 Mac – Tradeview Capital, syarikat pengurusan dana dan penasihat pelaburan berlesen di bawah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia mengumumkan dividen sebanyak 7.12 sen sesaham bagi dana utama mereka, Tradeview Sustainability Fund (TSF).
Jumlah itu meningkat sedikit berbanding dividen 7.03 sen tahun sebelumnya, dengan tarikh ex-dividen ditetapkan pada 31 Mac 2026.
Dana ESG yang memfokuskan pelaburan bertanggungjawab dan lestari ini mencatatkan hasil dividen (distribution yield) sebanyak 6.2% untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025.
TSF telah memperoleh reputasi sebagai dana yang stabil walaupun pasaran global menghadapi ketidaktentuan.
Sejak penubuhannya tiga tahun lalu, TSF mencatatkan purata pulangan tahunan sebanyak 11% selepas ditolak semua yuran. Ini menjadikan pulangan terkumpul selama tiga tahun mencecah 33%, jauh mengatasi prestasi indeks FBM100 KLCI yang merekodkan 17.45% dalam tempoh yang sama.
Distribusi yield tahunan TSF untuk tiga tahun lepas masing-masing ialah 5.96%, 6.5% dan 6.2%, dengan purata keseluruhan 6.22%. Keputusan ini membuktikan komitmen Tradeview Capital dalam menyediakan pendapatan berterusan kepada para pelabur.
Pengurus Dana TSF, Neoh Jia Man berkata prestasi positif dana itu dicapai walaupun berlaku ketegangan geopolitik di Timur Tengah dan perang tarif global.
“Strategi diversifikasi yang merangkumi pelaburan di pasaran luar seperti Hong Kong dan Singapura membolehkan kami mengurangkan risiko tempatan dan pada masa sama merebut peluang pertumbuhan yang kurang ketara di pasaran domestic.
“Strategi ini terbukti berkesan dalam menghadapi persekitaran pelaburan yang tidak menentu,” katanya.
Sementara itu Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Tradeview Capital, Ng Zhu Hann menegaskan prestasi konsisten dana itu adalah hasil daripada proses pelaburan yang disiplin dan pematuhan ketat kepada prinsip ESG.
“Pengurusan dana melihat tanggungjawab terhadap pelabur dengan serius dan bertekad untuk terus menyediakan pendapatan berulang sambil mengekalkan nilai pelaburan pelanggan.
“Kami akan terus mencari saham yang harganya lebih murah berbanding nilai sebenar dengan asas kukuh dan pendapatan lestari di rantau Asia Pasifik,” katanya.
Tradeview Capital merupakan syarikat pengurusan dana yang menyediakan pelbagai perkhidmatan pelaburan termasuk ekuiti, bon, komoditi, pra-IPO dan instrumen pendapatan tetap.
Pengumuman ini membuktikan kemampuan TSF untuk memberikan pulangan yang kompetitif sambil mematuhi prinsip pelaburan ESG. - DagangNews.com








