KUALA LUMPUR 17 Mac – TPG Inc. menubuhkan sebuah platform penjagaan warga emas baharu dikenali sebagai One Aged Care bagi memanfaatkan peningkatan permintaan terhadap perkhidmatan tersebut di Asia Tenggara.
Platform itu menghimpunkan tiga operator utama iaitu ECON Healthcare, Orange Valley Nursing Homes dan Ambulance Medical Service di bawah satu struktur pegangan bersepadu dan pada masa mengekalkan identiti jenama masing-masing.
Menurut TPG, penubuhan platform itu selari dengan perubahan demografi di rantau ini yang menyaksikan peningkatan pesat populasi warga emas sekali gus mendorong permintaan terhadap penjagaan jangka panjang yang berkualiti.
Rakan pengurusan dan ketua bersama Asia TPG, Ganen Sarvananthan berkata, peralihan tersebut membuka peluang besar kepada pembangunan model penjagaan yang lebih bersepadu dan mampan.
Malaysia kini dikategorikan sebagai negara menua apabila sekurang-kurangnya 7% penduduk berusia 65 tahun ke atas, manakala Singapura merupakan antara negara dengan kadar penuaan terpantas di dunia dengan sekitar 21% penduduknya berada dalam kategori kumpulan umur tersebut.
One Aged Care memulakan operasi dengan 16 pusat rumah jagaan warga emas yang menyediakan lebih 2,400 katil di Malaysia dan Singapura, selain menawarkan perkhidmatan ambulans kecemasan serta pengangkutan perubatan.
TPG menjelaskan, inisiatif itu disokong oleh dana pertumbuhan pasaran pertengahan Asia miliknya dengan matlamat membangunkan model penjagaan yang berskala, bersepadu dan berfokus kepada hasil rawatan.
Platform tersebut turut menekankan perkongsian sumber, penyeragaman rangka kerja klinikal serta pelaburan berterusan dalam inovasi perkhidmatan dan pembangunan tenaga kerja bagi meningkatkan kualiti penjagaan.
Sementara itu, Ong Hui Ming yang mempunyai lebih 20 tahun pengalaman dalam sektor penjagaan warga emas dilantik menerajui One Aged Care, dengan fokus untuk memperkukuhkan model operasi yang mampan dan memenuhi keperluan penjagaan yang semakin kompleks. - DagangNews.com








