KUALA LUMPUR 6 April – Topmix Berhad melalui anak syarikatnya, Topmix Resources Sdn. Bhd memeterai perjanjian jual beli bagi sebuah tanah beserta kilang 1½ tingkat di Taman Perindustrian Senai, Johor, kepada PMI Packaging Sdn Bhd dengan harga keseluruhan RM1.85 juta.
Tanah seluas kira-kira 0.0993 hektar itu merupakan hak milik kekal dan sebelum ini telah digunakan sebagai harta pelaburan serta disewa kepada penyewa pihak ketiga yang dijadikan sebagai gudang.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Topmix berkata penyewa lama menamatkan sewa pada September 2025, membolehkan Topmix mempertimbangkan peluang untuk menjual aset bukan teras ini.
“PMI Packaging, syarikat yang menjalankan perniagaan pembuatan produk plastik serta perkhidmatan pengangkutan dan penghantaran, tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Topmix. Modal berbayar syarikat itu ialah RM2 juta, dimiliki secara sama rata oleh dua individu iaitu Tan Chun Kiat dan Chin Beng Cong.
“Perjanjian jual beli menetapkan bayaran deposit sebanyak 10 peratus semasa tandatangan, manakala baki RM1.665 juta perlu diselesaikan dalam tempoh empat bulan, dengan pilihan lanjutan satu bulan beserta faedah 8 peratus setahun jika berlaku kelewatan.
“Kos asal tanah ini pada 2014 adalah RM696,648, dan nilai buku terkini pada 31 Disember 2025 ialah RM595,825. Berdasarkan perbincangan terus antara pihak terlibat dan penilaian indikatif daripada KGV International Property Consultants, harga jualan RM1.85 juta dianggap wajar, mewakili premium 2.8 peratus berbanding nilai pasaran dan lebih 210 peratus daripada nilai buku,” katanya dalam makluman tersebut.
Hasil jualan tanah dan kilang ini dijangka digunakan bagi membayar pinjaman bank berkaitan aset berkenaan, menampung kos transaksi termasuk cukai keuntungan harta, dan baki untuk modal kerja syarikat.
Langkah ini dijangka meningkatkan kecekapan modal serta membolehkan Topmix memberi fokus kepada perniagaan teras dan keutamaan operasi masa depan.
Daripada segi kewangan, Topmix dijangka merealisasikan untung bersih kira-kira RM1.17 juta daripada transaksi ini. Keuntungan tersebut dijangka meningkatkan aset bersih syarikat, sementara tiada kesan terhadap modal saham, pemegang saham utama, atau kepentingan pemegang saham minoriti.
Proses jualan dijangka selesai pada suku ketiga 2026, tertakluk kepada syarat dan terma dalam perjanjian jual beli.
Lembaga pengarah Topmix menyatakan bahawa transaksi ini dijalankan di bawah terma komersial yang kompetitif dan adalah selaras dengan kepentingan terbaik syarikat. - DagangNews.com








