Top Glove biayai capex melalui dana dalaman, MARC kekalkan penarafan AA-IS dengan prospek stabil | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Top Glove biayai capex melalui dana dalaman, MARC kekalkan penarafan AA-IS dengan prospek stabil

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 17 Mac — Top Glove Corp Bhd merancang untuk membiayai sebahagian besar perbelanjaan modal (capex) yang dirancang dalam tempoh tiga tahun akan datang melalui dana dalaman,menurut  MARC Ratings Bhd.

 

Agensi penarafan itu berkata, langkah itu selari dengan keputusan syarikat mengaktifkan semula kilang yang tidak beroperasi serta memperkukuh keupayaan huluannya bagi menyokong pengembangan kapasiti.

 

Katanya, langkah itu juga bagi menyokong rancangan kumpulan itu termasuk memulakan semula empat kilang bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran kepada kira-kira 70 bilion unit setahun.

 

"Selain itu, Top Glove juga merancang melabur dalam kemudahan lateks getah nitril butadiena (NBR) dan kemudahan gamma bagi mengurangkan kebergantungan kepada pembekal pihak ketiga.

 

"Seiring perkembangan tersebut, MARC mengekalkan penarafan AA-IS(cg)/AIS(cg) terhadap program Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) dan sukuk kekal bernilai RM3 bilion yang diterbitkan oleh TG Treasury Bhd, dengan prospek penarafan kekal stabil," katanya.

 

Menurut MARC, program sukuk itu disokong oleh jaminan tanpa syarat daripada Top Glove, manakala penarafan IMTN kanan mencerminkan profil kredit korporat kumpulan berkenaan.

 

Agensi penarafan itu berkata kedudukan pasaran Top Glove yang kukuh, rekod prestasi yang mantap serta kecairan kewangan yang sihat terus menjadi kekuatan utama syarikat, walaupun berdepan tekanan harga dalam industri, khususnya daripada pesaing dari China.

 

Pada masa sama, pemulihan margin keuntungan turut disokong oleh kos bahan mentah yang lebih rendah serta tarif import yang lebih tinggi dikenakan oleh Amerika Syarikat ke atas produk sarung tangan dari China, sekali gus memberi kelebihan kepada pengeluar Malaysia.

 

Bagi suku pertama tahun kewangan 2026, Top Glove merekodkan keuntungan operasi sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak RM127.6 juta dengan baki tunai berjumlah RM712.8 juta.

 

Jumlah pinjaman terkumpul syarikat pula berada pada paras RM823.8 juta, dengan nisbah hutang kasar kepada ekuiti sebanyak 0.17 kali dan nisbah hutang bersih kepada ekuiti hanya 0.02 kali, sekali gus meletakkan kumpulan itu hampir kepada kedudukan tunai bersih. - DagangNews.com