TNG Digital lantik Syed Zaid Albar sebagai pengerusi | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TNG Digital lantik Syed Zaid Albar sebagai pengerusi

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 21 Okt - TNG Digital Sdn Bhd, pengendali TNG eWallet melantik Datuk Syed Zaid Albar sebagai pengerusi dan pengarah bukan bebas bukan eksekutif berkuat kuasa 17 Oktober 2025.

 

TNG Digital berkata pelantikan tersebut mencerminkan komitmen syarikat terhadap tadbir urus yang kukuh dan kepimpinan strategik ketika ia terus membina ekosistem digital yang dipercayai, inklusif dan mampan bagi memacu sektor perkhidmatan kewangan digital Malaysia.

 

“Syed Zaid merupakan seorang peguam kanan yang berpengalaman luas dalam pelbagai bidang amalan undang-undang, dengan tumpuan utama kepada perkhidmatan kewangan dan nasihat korporat.

 

“Sebagai rakan pengasas firma guaman Albar & Partners, beliau telah membina reputasi kukuh dalam landskap perundangan Malaysia, khususnya dalam pasaran modal hutang dan pembiayaan ekuiti, termasuk kewangan Islam,” katanya.

 

Syed Zaid sebelum ini berkhidmat sebagai Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dari tahun 2018 hingga pertengahan 2022, di mana beliau memainkan peranan penting dalam memperkukuh tadbir urus, pengawasan kawal selia serta pembangunan pasaran modal Malaysia.

 

Pada masa ini, beliau juga merupakan pengerusi CIMB Group Holdings Bhd, CIMB Bank Bhd dan Touch ‘n Go Sdn Bhd.

 

Syed Zaid pernah berkhidmat dalam lembaga beberapa syarikat tersenarai awam termasuk Yinson Holdings Bhd, Cycle & Carriage Bintang Bhd, Malaysian Pacific Industries Bhd dan Malaysia Building Society Bhd.

 

TNG Digital berkata kepimpinan Syed Zaid akan terus memperkukuh asas pertumbuhan jangka panjang syarikat serta menyokong usaha Malaysia ke arah ekonomi digital yang lebih terhubung dan inklusif dari segi kewangan. - DagangNews.com