TNB–Telekom Malaysia perluas rumusan tenaga hijau, infrastruktur digital demi manfaat pelanggan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TNB–Telekom Malaysia perluas rumusan tenaga hijau, infrastruktur digital demi manfaat pelanggan

SHAMSUL Ahmad (tiga dari kanan), dan Amar Huzaimi Md Deris (tiga dari kiri), bertukar dokumen dalam Majlis Pertukaran Dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) di Pusat Konvensyen Leo Moggie TNB, Bangsar, Kuala Lumpur.
Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 16 MacTenaga Nasional Berhad (TNB) dan Telekom Malaysia Berhad (TM) mengukuh kerjasama strategik bagi memperluas rumusan tenaga hijau yang saling berhubung di seluruh negara.


Usaha berkenaan termasuk pembangunan infrastruktur tenaga dan telekomunikasi yang lebih pintar serta mampan menerusi pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) di ibu negara baru-baru ini.


Dalam satu kenyataan bersama, MoU itu menumpukan pembangunan teknologi serta kecerdasan buatan (AI) selaras Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR) dan agenda transformasi digital.


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir Ts Shamsul Ahmad berkata, antara pelaksanaan awal kerjasama itu ialah pemasangan sistem solar yang membabitkan sejumlah 150 premis milik TM.


Menurutnya, inisiatif itu berpotensi diperluaskan kepada banyak kediaman pelanggan Unifi Home setiap tahun melalui penawaran skim pakej solar yang dipertingkatkan menerusi platform GSPARX.


“Dengan pertambahan stesen pengecasan kenderaan elektrik (EV) yang dirancang di bawah kerjasama ini, pengguna akan memperoleh banyak lokasi kemudahan dan pengalaman penggunaan,” kata beliau.


TNB kekal komited menyokong pelaksanaan NETR bagi memperluas penggunaan tenaga boleh diperbaharui (RE) serta mempercepatkan peralihan negara ke arah pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

 

Shamsul Ahmad
                    SHAMSUL AHMAD



Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris berkata kerjasama ini menggabungkan kekuatan dua syarikat yang merupakan tonggak utama infrastruktur kritikal negara.


Dengan kombinasi kepimpinan TNB dalam RE bersama kekuatan TM dalam infrastruktur digital seluruh negara, kesalinghubungan dan keupayaan AI, kerjasama ini mampu mewujudkan nilai kepada organisasi.


"Kami turut yakin langkah kerjasama itu juga selari dengan aspirasi Digital Powerhouse 2030 yang digerakkan oleh TM bagi memperkasa transformasi digital merentas sektor utama ekonomi," jelasnya.


Di bawah kerjasama tersebut, TNB dan TM turut akan memberi tumpuan kepada tiga bidang utama iaitu rumusan tenaga lestari, pemerkasaan teknologi digital serta penyumberan ICT secara strategik.


Bagi bidang pertama, TNB melalui GSPARX dan TNB Electron bersama TM akan melaksanakan inisiatif pemasangan solar di bangunan, penyediaan pakej serta perluasan rangkaian stesen pengecas EV.
 

Amar Huzaimi
            AMAR HUZAIMI MD DERIS


Dua syarikat itu juga akan meneroka kerjasama teknologi digital dan inovasi yang meningkatkan kecekapan operasi, pengalaman pelanggan serta membangunkan ekosistem digital secara lebih mampan.


Selain itu, mereka menilai pendekatan baharu dalam penyumberan perkhidmatan ICT bagi memastikan rantaian bekalan kukuh, kos yang lebih kompetitif serta ketersediaan digital dalam jangka panjang.


Melalui kerjasama itu jelas kenyataan tersebut, pelanggan memperoleh manfaat seperti pengurangan kos operasi, kemudahan pengecasan EV di lokasi terpilih serta akses kepada sistem digital pintar.


"Kedua-dua syarikat berkenaan turut menjangkakan pelanggan mendapat faedah besar menerusi analitik berasaskan AI bagi memantau penggunaan tenaga dan mengesan gangguan bekalan lebih awal," katanya.


Setakat 31 Disember 2025, GSPARX yang ditubuhkan pada Januari 2018 memperoleh lebih 530 megawatt (MW) projek solar bumbung, menyokong penggunaan RE di lebih 3,000 kediaman dan premis komersial.


Dalam masa sama, TNB membangunkan 256 stesen pengecas EV di bawah jenama TNB Electron, dan memperkukuh komitmen penyediaan rumusan bersepadu kepada pelanggan. - DagangNews.com