KUALA LUMPUR 17 Okt - Tenaga Nasional Bhd (TNB) menyeru kerjasama serantau yang lebih erat dalam kalangan utiliti ASEAN bagi menyelaraskan peraturan, memodenkan rangkaian grid tenaga dan memperkukuh usaha kolektif ke arah peralihan tenaga yang adil serta mampan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, sektor tenaga ASEAN mempunyai dua matlamat utama — iaitu menyokong peralihan tenaga sambil memastikan ekonomi rantau ini terus berkembang secara lestari.
“ASEAN mempunyai dua objektif murni. Pertama, menangani isu peralihan tenaga sambil memastikan ekonomi yang digerakkan oleh sektor tenaga terus berkembang.
“Kedua, dalam proses pertumbuhan itu, kita perlu menangani aspek kelestarian,” katanya kepada Bernama dalam satu temu bual di luar Forum Perniagaan Tenaga ASEAN 2025 yang diadakan di sini.
Megat Jalaluddin berkata semua negara anggota ASEAN telah membuat komitmen kukuh terhadap peralihan tenaga, termasuk Malaysia melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), dengan TNB memainkan peranan utama sebagai pemacu industri.
“Sebagai pemain utama dalam industri, TNB akan memberi sokongan penuh terhadap NETR sebagai objektif nasional, dan kami percaya pelan ini memberikan kejelasan tentang hala tuju yang perlu diambil,” tambahnya.
Beliau berkata negara-negara ASEAN boleh memanfaatkan platform sedia ada seperti Heads of ASEAN Power Utilities/Authorities (HAPUA) untuk memperkukuh perancangan sistem tenaga secara bersama.
Langkah pertama yang penting, katanya, adalah mewujudkan kerjasama ASEAN dalam perancangan sistem industri tenaga.
“Melalui platform ini, ASEAN dapat mencapai tiga objektif utama iaitu menjamin keselamatan bekalan, kemampuan dan kelestarian,” kata beliau.
Beliau turut menegaskan, pemodenan grid kuasa serantau memerlukan pengadaptasian teknologi secara kolektif serta perkongsian inovasi bagi mewujudkan ekonomi berskala besar.
“Kita boleh mula berfikir bagaimana untuk menggunakan AI dalam industri tenaga, dan alat berasaskan AI ini boleh dibangunkan serta dikongsi di seluruh rantau ASEAN,” katanya.
Namun, Megat Jalaluddin memberi peringatan bahawa perbezaan peraturan antara negara masih menjadi cabaran utama.
“Setiap negara mempunyai peraturan tersendiri. Jadi cabaran utama pertama ialah keperluan untuk menyelaraskan peraturan di antara negara-negara ASEAN,” ujarnya.
Beliau menambah, mengenal pasti projek berkepentingan bersama, menggalakkan keyakinan pelaburan rentas sempadan, dan mewujudkan hab komersial tunggal untuk dagangan tenaga merupakan langkah penting seterusnya.
“Kita perlu ada kesepakatan bahawa jika kita dapat merancang satu projek, contohnya ASEAN Power Grid, yang berkongsi kepentingan bersama dengan negara lain, maka projek itu boleh diteruskan. Jika tidak, ia tidak akan berjaya,” jelasnya.
Megat Jalaluddin turut menekankan keperluan mewujudkan iklim pelaburan yang kondusif bagi memastikan pembiaya dan pelabur yakin terhadap pulangan jangka panjang, tanpa mengira lokasi pelaburan dalam projek ASEAN.
Mengenai pembiayaan, beliau berkata tiada kekurangan dana bagi projek tenaga di rantau ASEAN, namun isu kemampuan dan kesaksamaan perlu ditangani.
“Kita tidak melihat kekurangan pembiaya. Tetapi persoalannya ialah siapa yang akan membayar. Kos tenaga tidak sama di seluruh ASEAN, jadi persoalan sebenar ialah siapa yang mampu membayar tenaga tersebut — terutamanya tenaga hijau,” katanya.
Beliau menegaskan, peralihan tenaga yang adil mesti diwujudkan supaya penduduk ASEAN dapat menikmati penyertaan yang saksama dalam proses tersebut. — BERNAMA








