KUALA LUMPUR 30 April — TNB Power Generation Sdn Bhd (TNB Genco) bekerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) menyantuni sejumlah 50 keluarga asnaf di Kampung Bersia Lama, Gerik menerusi satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Program yang dinamakan Lestari Komuniti Perak itu bukan sahaja menjanjikan limpahan manfaat kepada masyarakat sekitar kawasan Tasik Temenggor dan Chenderoh, malah menyokong agenda nasional ke arah tenaga bersih dan mampan di Daerah Hulu Perak.
Inisiatif ini susulan kepada pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara TNB Genco dan Kerajaan Negeri Perak pada 2023 bagi meneroka potensi pembangunan loji Hibrid Hidro Solar Terapung (HHFS) di kawasan tadahan air dan tasik di Kawasan itu.

"Sistem ini menggabungkan teknologi hidroelektrik dan solar terapung yang merupaya menjana tenaga masing-masing 400MW dan 70MW, serta menyumbang kepada matlamat pelan hala tuju peralihan tenaga negara (NETR)," katanya dalam kenyataan bersama.
Lebih penting katanya, pelaksanaan projek tenaga boleh diperbaharui itu dijangka membuka peluang pekerjaan selain merangsang ekonomi setempat dan menggalakkan kelestarian alam sekitar melalui penyertaan aktif komuniti tempatan.
Pengarah Urusan TNB Genco, Datuk Muhamad Nazri Pazil berkata, program CSR itu bukan sekadar menyantuni komuniti, tetapi turut memperkukuh reputasi korporat dan membina hubungan secara bersama dengan semua pihak berkepentingan.

"Kita percaya, apabila syarikat dan masyarakat bekerjasama, pembangunan sosioekonomi akan menjadi lebih seimbang dan mampan malah inisiatif sebegini menjadi pelantar kepada lebih banyak kerjasama dalam pelbagai aspek secara menyeluruh," katanya.
Ketua Eksekutif PKNPk, Datuk Redza Rafiq Abdul Razak berkata, agenda Teknologi Hijau Perak Sejahtera 2030 merupakan inisiatif strategik negeri dalam mempercepatkan transisi tenaga bersih untuk mencapai matlamat pembangunan mampan.
"Perak berpotensi menjadi hab utama bagi pembangunan loji jana kuasa solar terapung, sekali gus memiliki kelebihan untuk menyumbang kepada penjanaan tenaga sehingga 5.2 gigawatt (GW) di Semenanjung Malaysia," katanya. - DagangNews.com








