KUALA LUMPUR 3 Mac – Tenaga Nasional Bhd (TNB) dijangka merekodkan pertumbuhan pendapatan lebih kukuh dalam tempoh dua tahun kewangan akan datang, disokong pengembangan dalam pelaburan aset terkawal (RAB), peningkatan perbelanjaan modal (capex) serta mekanisme kawal selia yang lebih menyokong, menurut penganalisis.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) berkata, permintaan elektrik dijangka kekal sihat pada 2026, seiring unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia sebanyak 4.7% tahun ini serta pelaksanaan berterusan projek pusat data.
“Pengurusan turut mengekalkan sentimen sama iaitu kepada pendapatan lebih kukuh bagi tahun kewangan 2026 (FY26) hingga FY27, disokong RAB yang lebih tinggi, sumbangan penjanaan baharu dan kadar cukai efektif yang lebih rendah,” katanya dalam nota penyelidikan.
Menurutnya, TNB melabur RM12 bilion capex pada 2025, terdiri daripada RM10.3 bilion capex asas dan RM1.7 bilion capex luar jangka, sekali gus meningkatkan RAB kepada RM75.8 bilion.
Pengurusan TNB turut membayangkan capex lebih tinggi iaitu RM13 bilion pada 2026 dan RM15 bilion pada 2027, yang dijangka terus mengembangkan RAB menjelang akhir 2027.
HLIB menjelaskan mekanisme pulangan bagi capex luar jangka kini telah dimuktamadkan, sekali gus meningkatkan keterlihatan pendapatan bagi tempoh 2026 hingga 2027.
“TNB merancang mempercepatkan perbelanjaan capex luar jangka kepada RM3.7 bilion pada 2026 dan RM7.6 bilion pada 2027 berbanding RM1.7 bilion pada 2025,” katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan BELI terhadap TNB dengan harga sasaran tidak berubah pada RM17.25, berikutan kedudukannya yang kukuh untuk memanfaatkan pertumbuhan ekonomi berdaya tahan serta pelaksanaan mekanisme pulangan baharu dan kadar cukai efektif lebih rendah.
Sementara itu, RHB Research turut menjangkakan momentum capex dikekalkan.
“TNB berjaya mencapai sasaran capex terkawal RM12 bilion pada 2025 dan kami menganggarkan capex asas menyumbang 88% daripada jumlah tersebut,” katanya.
Menurut RHB Research, susulan kelulusan kerajaan terhadap mekanisme pemulihan luar jangka, TNB dijangka mempercepatkan peruntukan capex luar jangka bagi mengekalkan perbelanjaan RM12 bilion setahun pada 2026 dan 2027.
Katanya, pengurusan masih optimis untuk memperoleh kelulusan dua pertiga capex bagi Tempoh Kawal Selia 4 (RP4), yang berpotensi meningkatkan unjuran pendapatan 2026 sebanyak 7% serta menyokong harga sasaran.
RHB Research mengekalkan saranan BELI dengan harga sasaran RM16.50, berdasarkan penilaian 19 kali nisbah harga kepada pendapatan (PER) 2026, iaitu satu sisihan piawai melebihi purata tiga tahun TNB.
“Kami percaya premium ini wajar memandangkan TNB merupakan penerima manfaat utama Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, dengan rangka kerja terkawal menyediakan asas pendapatan yang stabil,” katanya.
UOB Kay Hian Research juga mengekalkan penarafan BELI dengan harga sasaran RM16.30.
Menurutnya, premium risiko ekuiti sebanyak 7.8% mencerminkan autonomi tarif TNB serta pemisahan tarif secara berperingkat daripada kawalan kerajaan.
Pada harga sasaran itu, saham TNB diniagakan pada 18.7 kali pendapatan 2026, iaitu dua sisihan piawai melebihi purata PER lima tahun.
Dalam pada itu, CIMB Securities menaikkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) teras 2026 hingga 2027 masing-masing sebanyak 4% dan 5%, susulan prestasi kukuh suku keempat.
Sehubungan itu, harga sasaran turut dinaikkan 5% kepada RM15.90.
Firma itu kini mengunjurkan pertumbuhan EPS teras 4.8% pada 2026, diikuti 10.9% dan 8.5% masing-masing pada 2027 dan 2028, sambil menegaskan perbelanjaan operasi lebih tinggi daripada jangkaan serta kelewatan capex luar jangka sebagai risiko utama. - DagangNews.com








