TM, TIME dotCom berpotensi tingkatkan dividen termasuk dividen khas pada 2026 – HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TM, TIME dotCom berpotensi tingkatkan dividen termasuk dividen khas pada 2026 – HLIB

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 8 Jan – Di sebalik persaingan berterusan dalam sektor telekomunikasi tahun ini, Telekom Malaysia Bhd (TM) dan TIME dotCom Bhd berpotensi meningkatkan pembayaran dividen termasuk kemungkinan dividen khas.

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, langkah berkenaan mungkin melibatkan semakan menaik dasar dividen serta pembayaran dividen khas, sejajar dengan kedudukan kewangan yang kukuh.

 

Menurut firma penyelidikan itu, dengan ruang untuk meningkatkan kadar pembayaran dividen daripada 50% kepada 60%, pemain talian tetap berpotensi mencatat hasil bersih melebihi 4.5%, sekali gus merapatkan jurang pulangan berbanding pengendali mudah alih yang mempunyai nisbah pembayaran dividen sekitar 85% hingga 100%.

 

HLIB Research terus melihat profil risiko-ganjaran yang menarik bagi pengendali talian tetap, memandangkan peranan penting mereka dalam infrastruktur jalur lebar dan 5G, selain pembangunan pusat data di Malaysia yang semakin hampir ke fasa penyiapan.

 

Firma itu mengekalkan TM sebagai pilihan utama sektor, dengan saranan “beli” dan harga sasaran RM8.50 sesaham.

 

Dalam segmen mudah alih, HLIB Research turut mengetengahkan Axiata Group Bhd sebagai peluang berasaskan peristiwa, dengan saranan “beli” dan harga sasaran RM2.95 sesaham, didorong oleh potensi pemangkin pengewangan aset yang dijangka membantu merapatkan diskaun kepada nilai intrinsik aset-asasnya.

 

Firma itu menjangkakan pemain talian tetap akan sekali lagi mengatasi prestasi sektor berbanding rakan mudah alih pada 2026, khususnya pada separuh pertama tahun kewangan 2026 (1H26).

 

Pada masa sama, intensiti persaingan dijangka kekal terkawal, sekali gus menyokong prospek stabil pasaran mudah alih pada 2026.

 

Bagaimanapun, berikutan potensi kenaikan yang terhad, HLIB Research menurunkan penarafan TIME dotCom kepada “pegang” dengan harga sasaran berasaskan aliran tunai terdiskaun (DCF) kekal pada RM5.50 sesaham.

 

Firma itu menjangkakan CelcomDigi Bhd dan Maxis Bhd akan terus berdepan tekanan prestasi harga saham dalam jangka terdekat sehingga terdapat kejelasan lebih baik mengenai hala tuju Digital Nasional Bhd (DNB).

 

Walaupun HLIB Research kekal positif terhadap pelaksanaan operasi Maxis yang konsisten dan melihat CelcomDigi sebagai menarik dari segi asas pada paras semasa, penilaian semula yang mampan bagi kedua-duanya dijangka sukar berlaku sehingga terdapat gambaran lebih jelas mengenai struktur dan hala tuju jangka panjang DNB, yang tidak dijangka sebelum 2H26.

 

Keadaan ini turut diburukkan oleh peralihan berterusan kepada model rangkaian borong dwi 5G, yang dijangka mengekalkan sikap berhati-hati pelabur terhadap saham mudah alih.

 

Selain itu, HLIB Research berkata persaingan dalam segmen jalur lebar gentian kekal sengit, namun tanda-tanda awal rasionalisasi mula kelihatan menjelang akhir 2025. - DagangNews.com