KUALA LUMPUR 16 April – TM Nxera melengkapkan struktur kemudahan pembangunan pusat data (DC) yang sedia ada teknologi kecerdasan buatan (AI) berkapasiti sehingga 200MW di Iskandar Puteri, Johor.
Menurut syarikat usaha sama (JV) tersebut, kejayaan berkenaan menandakan pencapaian penting bagi mereka untuk terus memperkasakan lagi kedudukan Malaysia sebagai hab digital rantau Asia Tenggara.
Majlis ‘topping out’ hari ini menandakan siapnya rangka bangunan pertama kampus DC berkenaan, serta membuka laluan kepada fasa seterusnya yang melibatkan integrasi sistem dan kemasukan pelanggan.
"Pembangunan kemudahan baharu ini direka khusus bagi menyokong aspek keperluan pengkomputeran berprestasi secara tinggi dengan beban kerja AI yang berskala besar," kata TM Nxera dalam satu kenyataan.
JV tersebut melibatkan Telekom Malaysia Berhad (TM) dan Nxera, anak syarikat DC serantau Kumpulan Singtel dari Singapura dengan fokus pembangunan infrastruktur digital AI dan pengkomputeran awan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TM Nxera, Mahathir Said berkata, pembangunan fasiliti moden tersebut mencerminkan keupayaan pelaksanaan kukuh sejak majlis pecah tanah projek pada Julai 2024.
Selain itu, tambah beliau, kemajuan kampus berkenaan disokong menerusi perjanjian bekalan elektrik secara berbilang tahun dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi kapasiti awal sebanyak 280MW.
"DC ini disasarkan mencapai tahap Keberkesanan Penggunaan Tenaga (PUE) pada beban penuh, dengan teknologi penyejukan cecair termaju serta integrasi tenaga boleh diperbaharui (RE)," katanya.
Disokong rangkaian gentian darat rentas sempadan dan kabel dasar laut milik TM dan Singtel, ia ujar Mahathir, direka memenuhi keperluan infrastruktur digital berprestasi tinggi serta mampan.
Dengan permintaan yang semakin meningkat daripada pemain global, TM Nxera kini memberi tumpuan pembangunan prasarana untuk masa hadapan bagi menyokong transformasi digital merentas industri.
Selepas ini, projek memasuki fasa pemasangan mekanikal dan elektrikal, integrasi sistem serta proses pentauliahan, dengan operasi komersial fasa pertama dijangka pada separuh kedua 2026. - DagangNews.com








