KUALA LUMPUR 25 Nov – Telekom Malaysia Bhd (TM) dijangka memasuki suku keempat 2025 dengan momentum pendapatan yang lebih kukuh, disokong projek hujung tahun berskala besar serta pertumbuhan ketara dalam segmen borong dan perniagaan-ke-perniagaan (B2B).
Menurut RHB Research, pentauliahan pusat data (DC) yang diperluas di Iskandar Puteri (IPDC) berkapasiti kira-kira 20MW serta tambahan penghantaran projek baharu dijangka melonjakkan pendapatan C2C dan B2B pada 4Q25.
Pertumbuhan ini dijangka berterusan sehingga FY26F, dipacu percepatan pelancaran rangkaian 5G U Mobile yang menggunakan backhaul gentian TM, pentauliahan pusat data Lembah Klang yang turut diperluas serta permintaan daripada kabel dasar laut baharu, Asia Link Cable (ALC).
"Pengurusan TM turut memaklumkan bahawa pembangunan pusat data kecerdasan buatan (AI) Nxera berkapasiti 64MW telah mencapai 15% tahap kemajuan dan kekal di landasan untuk disiapkan menjelang pertengahan FY26F," kata RHB dalam nota penyelidikan hari ni.
Bagaimanapun RHB berkata, syarikat itu dijangka mencatatkan tekanan terhadap keuntungan sebelum faedah dan cukai (EBIT) pada 4Q25 berikutan kos Skim Pemisahan Sukarela (VSS) yang lebih tinggi.
"TM mengekalkan panduan pendapatan tetapi menarik balik panduan EBIT utamanya, dengan kami menilai semakan unjuran FY25F–27F masing-masing kepada -5.4%, -1.6% dan +3.8%. Harga sasaran pula dinaikkan sebanyak 1.8% termasuk elemen premium ESG 4%," katanya lagi
RHB menambah, dari sudut kedudukan kewangan, TM terus mempamerkan prestasi yang kukuh.
Katanya, selepas pembayaran balik bon bernilai AS$240 juta pada 3Q25, nisbah hutang bersih/EBITDA syarikat bertambah baik kepada 0.58x berbanding 0.66x sebelumnya.
"Aliran tunai bebas (FCF) sebanyak RM1.47 bilion atau 38 sen sesaham turut memperkukuh prospek peningkatan dividen kepada pemegang saham," tambahnya lagi.
RHB percaya struktur kunci kira-kira TM yang rendah leverage dan capex yang terkawal memberi ruang luas untuk syarikat meningkatkan pembayaran dividen pada masa akan datang.
Sementara itu MBSB Research berkata, pihaknya mengekalkan saranan NEUTRAL ke atas TM dengan harga sasaran berasaskan DCF yang tidak berubah pada RM7.21 berikutan pengumuman prestasi kewangan 3QFY25.
Firma penyelidikan itu, melihat prestasi pendapatan 3QFY25 sebagai luar biasa memandangkan kadar cukai efektif yang lebih rendah dijangka bersifat sekali sahaja.
Tambahnya, kadar cukai efektif dijangka kembali normal mulai 4QFY25.
"Walaupun begitu, kami melihat sedikit optimisme dalam prestasi hasil kumpulan. Ini dapat dilihat melalui prestasi hasil kumulatif 9MFY25 yang menunjukkan pola bercampur.
Sementara itu, jumlah kos terhadap hasil turut meningkat kepada 81.5% berbanding 80.5% sebelum ini, dipacu oleh kos langsung "yang lebih tinggi—suatu petunjuk bahawa kemajuan terhadap inisiatif pengurusan kos adalah terhad.
"Buat masa ini, kami berpandangan jumlah pulangan kepada pelabur hanya datang terutamanya daripada pembayaran dividen," katanya. - DagangNews.com








