Tindakan Thailand menyekat eksport minyak sawit mentah diramal tingkatkan harga kepada RM4,500 - TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tindakan Thailand menyekat eksport minyak sawit mentah diramal tingkatkan harga kepada RM4,500 - TA Securities

Foto kredit DTS Singapore
Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 8 April — Pengurangan bekalan minyak sawit mentah (MSM) serantau disebabkan langkah Thailand yang menyekat eksport komoditi berkenaan dijangka meningkatkan harga produk tersebut.


Menurut TA Securities, perkembangan terbaharu dilaksanakan negara jiran itu kini menjadi pemangkin utama yang berpotensi melonjakkan keuntungan syarikat perladangan di Malaysia dalam masa terdekat.


Firma penyelidikan tersebut berkata, sektor perladangan tempatan turut dijangka memasuki fasa kitaran pendapatan lebih kukuh disokong harga MSM yang kekal tinggi untuk tempoh jangka sederhana.


"Tindakan Thailand mengetatkan eksport MSM mulai 7 April bagi memastikan stok domestiknya stabil diunjur menyokong harga komoditi itu susulan bekalan yang terhad di pasaran global," tambahnya.


Walaupun sumbangan Thailand kepada eksport global adalah kecil, langkah ini ujarnya, mencerminkan trend lebih luas di rantau Asia Tenggara yang mengutamakan keselamatan tenaga dan bekalan makanan.


TA Securities berpandangan, usaha tersebut perlu dilaksanakan negara berkenaan khususnya apabila harga minyak mentah global meningkat ketara dan menjadikan produk biodiesel lebih berdaya saing.

 

sawit_DagangNews

 

Sejajar itu, firma penyelidikan berkenaan menaikkan unjuran harga MSM bagi 2026 dan 2027 kepada sekitar RM4,300 hingga RM4,500 satu tan berbanding anggaran sebelumnya sekitar RM4,000.


"Kami mengekalkan saranan ‘overweight’ terhadap sektor perladangan, didorong inventori semakin ketat, peningkatan keuntungan biodiesel serta dasar sokongan di negara pengeluar utama," katanya.


Dalam kalangan pemain utama, Kuala Lumpur Kepong Berhad, IOI Corporation Berhad dan SD Guthrie Berhad dilihat antara penerima manfaat utama, kerana mempunyai pendedahan besar di Indonesia.


Bagaimanapun, TA Securities mengingatkan beberapa risiko termasuk kemungkinan penurunan harga minyak mentah sekiranya ketegangan geopolitik reda, yang boleh melemahkan ekonomi biodiesel.


Di samping itu jelas firma penyelidikan berkenaan, permintaan minyak boleh makan yang lebih perlahan dari pasaran utama seperti India dan China, juga dikhuatiri dapat menjejaskan sentimen harga MSM.


"Meskipun begitu, prospek jangka pendek sektor perladangan kekal positif, disokong asas permintaan semakin kukuh serta faktor penawaran yang lebih terhad di peringkat global," ujarnya. - DagangNews.com