Tiga syarikat didenda RM2.98 juta, berpakat dalam enam tender RM45 juta - MyCC | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tiga syarikat didenda RM2.98 juta, berpakat dalam enam tender RM45 juta - MyCC

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 8 Julai – Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) mengenakan penalti sebanyak RM2.98 juta terhadap tiga syarikat atas penipuan enam tender bernilai RM45 juta yang melibatkan kerja penyelenggaraan bangunan dan fasiliti, landskap dan kejuruteraan awam di Putrajaya.

 

Tiga syarikat tersebut ialah Abadi Malaysia Sdn Bhd, Kota Lanskap Sdn Bhd dan Usia Maintenance Sdn Bhd.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MyCC, Datuk Iskandar Ismail berkata, siasatan dijalankan susulan aduan berkaitan aktiviti berpakat dalam tender.

 

Beliau berkata, MyCC telah mengenal pasti sembilan syarikat yang disyaki terlibat dalam kartel itu dan mengeluarkan cadangan tindakan kepada pihak terbabit pada 10 September tahun lalu.

 

"MyCC kemudiannya menerima representasi daripada syarikat-syarikat ini pada 11 November 2023 dan 13 Mac 2024. Selepas meneliti kesemua representasi itu, MyCC mendapati wujud pelanggaran di bawah Akta Persaingan," katanya pada sidang media hari ini.

 

Menurut beliau, modus operandi pakatan itu dikendalikan oleh Abadi Malaysia.

 

"Hasil siasatan kaki mendapati syarikat-syarikat terbabit berkongsi maklumat melalui WhatsApp, e-mel dan mesyuarat untuk menyelaras bidaan mereka. 

 

"Malah, dokumen tender telah disediakan oleh pekerja dari syarikat-syarikat berbeza di satu lokasi yang dikawal oleh Abadi Malaysia melalui salah seorang pengarahnya,” katanya.

 

Ketika serbuan dilakukan, MyCC turut menemui dokumen sulit milik syarikat-syarikat lain di premis Kota Lanskap, membuktikan berlakunya koordinasi bersama dalam penyediaan tender.

 

Iskandar berkata, melalui penipuan tersebut, Usia Maintenance dan Abadi Malaysia masing-masing berjaya memenangi satu tender. 

 

"Namun, mereka tetap dikenakan tindakan atas kesemua enam tender kerana terbukti wujudnya ciri-ciri kartel.

 

"Selain itu, Kota Lanskap didapati menunjukkan corak tingkah laku kartel dalam kesemua enam tender yang dihantar.," katanya.

 

Beliau berkata, siasatan turut mendedahkan beberapa pengarah syarikat terlibat mempunyai hubungan kekeluargaan atau saling mengenali antara satu sama lain.

 

Di bawah Akta Persaingan, MyCC mempunyai kuasa mengenakan penalti kewangan sehingga 10 peratus daripada jumlah perolehan global syarikat.

 

"Setelah mengambil kira semua faktor, penalti keseluruhan sebanyak RM2,977,015.15 telah dikenakan,” katanya.

 

Daripada jumlah tersebut, Abadi Malaysia dikenakan penalti RM1,587,951.59, Kota Lanskap (RM614,508.28) dan Usia Maintenance (RM774,555.28).

 

“Keputusan ini merupakan satu lagi langkah penting dalam usaha berterusan MyCC untuk memastikan ketelusan, keadilan dan integriti dalam proses perolehan awam.

 

“Amalan berpakat harga menjejaskan kepercayaan pasaran, membazirkan dana awam dan akhirnya merugikan kepentingan rakyat.

 

“Suruhanjaya memandang serius perbuatan ini dan akan terus menggunakan segala kuasa penguatkuasaan di bawah undang-undang untuk mendakwa pihak yang melanggar,” katanya.- DagangNews.com