Tiga lagi tokoh korporat ditahan bantu siasatan skim piramid MBI, dedah sumber | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tiga lagi tokoh korporat ditahan bantu siasatan skim piramid MBI, dedah sumber

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR 15 Ogos – Tiga lagi individu termasuk seorang pemaju hartanah di Pulau Pinang ditahan polis baru-baru ini bagi membantu siasatan kes skim penipuan pelaburan MBI, dedah sumber.

 

The Edge melaporkan, dua lagi individu yang ditahan ialah eksekutif tertinggi syarikat senaraian awam, masing-masing ditahan di Georgetown dan di ibu negara.

 

Akhbar itu juga melaporkan, pemaju hartanah berkenaan ditahan di sebuah kediaman mewah di Georgetown.

 

Ketiga-tiga individu berkenaan ditahan oleh pasukan Jenayah Komersial Bukit Aman.

 

Syarikat tersenarai awam di Kuala Lumpur itu dikatakan terlibat dalam penyediaan perkhidmatan peralatan telekomunikasi, manakala sebuah lagi adalah kumpulan hartanah berpangkalan di Pulau Pinang.

 

Pemaju hartanah dari Pulau Pinang tersebut dikatakan tokoh terkenal pada era 1990-an, yang pernah membangunkan pelbagai projek mercu tanda di pulau dan semenanjung.

 

Sumber turut memaklumkan bahawa penjaga sebuah dusun durian di pulau itu juga turut ditahan.

 

April lalu akhbar melaporkan polis menahan reman lima individu berkait skim piramid MBI membabitkan sitaan RM3.5 bilion.

 

Pembekuan dan penyitaan yang dianggarkan sebanyak RM3.5 bilion itu membabitkan dusun durian dianggarkan bernilai RM223 juta di tiga lokasi iaitu Raub, Pahang; Jawi, Pulau Pinang dan Tasek, Kedah.

 

Sebanyak 299 akaun bank berjumlah RM123 juta, 12 kenderaan mewah, satu utas jam tangan mewah, wang tunai, lima telefon bimbit, satu komputer dan pelbagai dokumen penting dipercayai hasil perolehan haram berkaitan penipuan pelaburan tersebut turut disita. - DagangNews.com