KUALA LUMPUR 16 Okt - China menghantar 3 kapal perang ke Malaysia termasuk kapal pendarat bagi menyertai latihan ketenteraan terbesar antara kedua negara iaitu Eksesais Aman Youyi 2025 (AY25).
Tiga aset tersebut iaitu kapal peluru berpandu Type 052D CNS Yingchuan, korvet Type 056A CNS Jingmen dan kapal pendarat CNS Jinggangshan.
Ketiga-tiga kapal berkenaan kini berlabuh di Pelabuhan Klang, Selangor.
AY25 akan menguji kesiapsiagaan untuk bantuan kemanusiaan dan operasi keselamatan maritim Malaysia-China antara Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan PLA.


Ini menandakan komitmen berterusan kedua-dua negara dalam memperkukuh hubungan strategik pertahanan.
Aman Youyi merupakan latihan berskala besar yang berlangsung selama sembilan hari bermula semalam melibatkan lebih 1,000 anggota tentera dari kedua-dua negara.
Turut serta adalah penglibatan agensi seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART).
Latihan ini merangkumi tiga bahagian utama iaitu darat, maritim dan udara.
Tumpuan adalah kepada latihan bantuan kemanusiaan dan bencana (HADR), keselamatan maritim (MARSEC) serta pertukaran pakar dalam operasi amfibi dan keselamatan ruang udara.


Tiga lokasi strategik telah dipilih bagi pelaksanaan eksesais ini iaitu Markas SMART di Puchong, Selangor sebagai pusat kawalan latihan dan lokasi HADR.
Manakala Pusat Hidrografi Negara dan Selat Melaka menjadi lokasi latihan MARSEC dan operasi amfibi, serta Pangkalan TUDM Subang bagi latihan dalam domain udara.
Pendekatan latihan yang pelbagai ini mencerminkan keperluan sebenar ketenteraan moden yang merangkumi bukan sahaja aspek pertahanan tetapi juga kerjasama kemanusiaan dan pengurusan bencana.
AY25 bukan sekadar platform latihan, malah simbol kepada hubungan pertahanan dua hala yang semakin erat sejak ia diperkenalkan pada tahun 2014.


Latihan ini memperkukuh diplomasi ketenteraan, meningkatkan keupayaan operasi bersama dan menyumbang secara langsung kepada keamanan serta kestabilan serantau.
Ia juga menjadi bukti bahawa kerjasama pertahanan mampu menjadi jambatan penting ke arah masa depan yang lebih aman dan selamat bagi kedua-dua negara.
Terdahulu, majlis pelancaran AY25 telah disempurnakan bersama oleh Ketua Staf Markas Angkatan Bersama, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Fauzi Kamis dan Asisten Ketua Staf Markas Pemerintahan Teater Selatan PLA, Mejar Jeneral Dai Bin.
Kali pertama Latihan Aman Youyi diadakan adalah pada 2014 di Kuala Lumpur susulan perjanjian persefahaman yang ditandatangani pemimpin kedua-dua negara pada masa itu. - DagangNews.com








