KUALA LUMPUR 12 Sept — Malaysia berpotensi menjadi penerima manfaat aliran dana asing susulan ketidaktentuan politik di Indonesia, Thailand dan Filipina, menurut satu laporan strategi pasaran.
CGS International berkata, dalam keadaan landskap politik tempatan yang lebih stabil, bersama jangkaan pemotongan kadar faedah AS dan faktor bermusim, pasaran saham Malaysia dijangka mendapat rangsangan positif.
Firma penyelidikan tersebut mengekalkan sasaran akhir tahun 2025 untuk FBM KLCI pada paras 1,690 mata, disokong oleh tiga pemangkin utama.
Kestabilan Politik Malaysia Jadi Daya Tarikan
Malaysia dilihat menonjol dalam kalangan negara ASEAN utama dalam indeks MSCI Pasaran Muncul (EM), iaitu Malaysia, Indonesia, Thailand dan Filipina.
Beberapa perkembangan politik di negara jiran termasukp protes anti-kerajaan mencetuskan rombakan Kabinet di Indonesia, perubahan kepimpinan di Thailand dan Filipina konflik berpanjangan antara Presiden Ferdinand Marcos Jr. dan Naib Presiden Sara Duterte di Filipina memberi kelebihan kepada Malaysia.
CGS International berkata, Malaysia menunjukkan kestabilan politik relatif, disokong oleh peningkatan kadar sokongan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan, menurut kajian Merdeka Center.
Aliran keluar bersih asing dari pasaran Malaysia setakat tahun ini adalah -3.5% (berbanding peratusan permodalan pasaran dalam MSCI-EM), hampir setara dengan Indonesia (-3.6%), dan lebih tinggi berbanding Thailand (-2.6%) dan Filipina (-1.9%).
Walaupun tinggi, CGS International berpendapat angka ini tidak memjejaskan Malaysia, sebaliknya menjangka potensi peralihan aliran dana asing ke negara ini dalam masa terdekat.
Pemangkin Berganda: Penyempitan Jurang Kadar FFR-OPR
Dengan petunjuk dovish yang diberikan oleh Pengerusi Rizab Persekutuan AS, Jerome Powell di simposium Jackson Hole baru-baru ini, penganalisis pasaran menjangkakan kitaran pemotongan kadar faedah Fed akan bermula seawal minggu hadapan.
Penyempitan jurang antara Federal Funds Rate (FFR) dan Kadar Dasar Semalaman (OPR) Malaysia dijangka mengukuhkan nilai ringgit dan menyokong prestasi pasaran saham.
Untuk rekod, situasi serupa berlaku pada 3Q24 apabila ringgit melonjak 11.3% berbanding dolar AS menjelang pemotongan kadar Fed pada September 2024, dengan FBM KLCI turut mencatatkan kenaikan 7.3% dalam tempoh yang sama.
"Tambahan pula, terdapat korelasi songsang sebanyak -41% antara KLCI dan jurang FFR-OPR – menunjukkan penyempitan kadar ini selalunya disertai dengan pengukuhan pasaran ekuiti Malaysia," kata firma itu.
Kesan Bermusim “Window Dressing” Hujung Tahun
Pasaran saham Malaysia mempunyai corak bermusim yang ketara pada bulan Disember, dikenali sebagai 'year-end window dressing effect'.
Dalam 16 tahun sejak Krisis Kewangan Global, KLCI mencatat pulangan positif pada Disember sebanyak 15 kali, bersamaan kadar kejayaan 94% dengan purata kenaikan +2% bulan ke bulan.
Lebih menarik, KLCI turut mengatasi prestasi indeks MSCI AC ASEAN dalam 13 daripada 16 tahun tersebut (kadar kejayaan: 63%; purata pulangan Dis: +1.6%).
Antara saham berkemungkinan tinggi untuk menerima kesan "window dressing" dan turut mempunyai penarafan "Add" oleh firma penyelidikan adalah AMMB Holdings Bhd, Axiata Group Bhd, IHH Healthcare Bhd, MISC Bhd dan Tenaga Nasional Bhd.
Dengan tiga pemangkin utama CGS International mengekalkan sasaran FBM KLCI pada 1,690 mata menjelang akhir 2025, berdasarkan unjuran pertumbuhan EPS sebanyak +4.0% untuk 2025 dan +7.2% bagi 2026, serta penilaian pada nisbah P/E 14.9x (0.5 sisihan piawai di bawah purata lima tahun). - DagangNews.com








