Tiga eksekutif kuasai APB Resources menerusi pengambilalihan pengurusan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tiga eksekutif kuasai APB Resources menerusi pengambilalihan pengurusan

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 2 Sept – APB Resources Berhad pakar dalam reka bentuk dan fabrikasi peralatan proses untuk industri petrokimia, oleokimia, minyak & gas serta tenaga, kini memasuki fasa pertumbuhan dan transformasi baharu susulan satu pengambilalihan pengurusan yang diterajui oleh tiga eksekutif utamanya.

 

Menerusi syarikat pelaburan khas, Strategic A Holdings Sdn Bhd, ketiga-tiga eksekutif tersebut iaitu Ong Kok Wah, Lee Lisa dan Chan Fook Wah kini muncul sebagai pemegang saham utama dengan pegangan ekuiti tidak langsung sebanyak 27.894% setakat 29 Ogos 2025. 

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu berkata, langkah tersebut mencerminkan komitmen jangka panjang pihak pengurusan terhadap masa depan APB dan menjadi isyarat permulaan kepada hala tuju baharu syarikat.

 

Kok Wah yang kini dilantik sebagai Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), telah berkhidmat dalam APB selama lebih 30 tahun. 

 

Beliau memulakan kerjaya sebagai Jurutera Kawalan Kualiti pada tahun 1993 dan kemudiannya dilantik sebagai Pengurus Besar Amalgamated Metal Corporation (M) Sdn. Bhd. (AMC). 

 

"Pengalaman operasi yang luas dan kepakaran industri menjadikan beliau individu yang tepat untuk menerajui transformasi syarikat," kata kenyataan itu.

 

Beliau disokong oleh Lee Lisa sebagai Pengawal Kewangan Kumpulan, seorang akauntan bertauliah yang berpengalaman dalam bidang audit, pengurusan perbendaharaan serta pelaporan kewangan. Sumbangan beliau amat penting dalam memperkukuh disiplin kewangan Kumpulan.

 

Turut melengkapkan pasukan ialah Fook Wah sebagai Timbalan Pengurus Besar AMC, yang memiliki lebih 20 tahun pengalaman dalam pelaksanaan projek dan operasi, memastikan kecekapan serta penghantaran tepat masa bagi aktiviti pengeluaran Kumpulan.

 

Menurut kenyataan itu, ketiga-tiga eksekutif berkenaan membentuk satu pasukan pengurusan yang menggabungkan kepakaran operasi, kepimpinan kewangan dan panduan strategik. 

 

"Pemilikan bersama mereka melalui Strategic A Holdings menjadi titik perubahan penting bagi APB – berteraskan kesinambungan, namun digerakkan oleh semangat baharu untuk memulihkan keuntungan serta mencipta nilai jangka panjang kepada pemegang saham.

 

“Sebagai pasukan pengurusan, kami telah hidup dan membina APB selama berdekad. Kami memahami perniagaan ini di setiap peringkat – daripada operasi ke kewangan – dan kami melihat potensi besar di hadapan. Dengan kepakaran kami, asas pelanggan sedia ada, dan keupayaan fabrikasi yang kukuh, APB berada dalam kedudukan yang kukuh. 

 

"Bersama, kami komited untuk memulihkan kekuatan kewangan, menajamkan pelaksanaan, dan memposisikan Kumpulan untuk kejayaan jangka panjang,” ujar mereka dalam satu kenyataan bersama.

 

Pengambilalihan pengurusan ini menandakan peristiwa penting dalam sejarah korporat APB, dengan kesinambungan kepimpinan yang terjamin dan pemilikan kini sejajar dengan individu yang mengendalikan operasi harian syarikat. 

 

Lembaga Pengarah yakin bahawa peralihan ini, yang berasaskan pengalaman mendalam serta visi yang jelas, bakal memberikan impak positif kepada masa depan APB dan seluruh pemegang kepentingannya. - DagangNews.com