Tiga ahli lembaga pengarah berundur daripada Boustead Heavy Industries | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tiga ahli lembaga pengarah berundur daripada Boustead Heavy Industries

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 3 Jun — Tiga ahli lembaga pengarah Boustead Heavy Industries Corporation Bhd (BHIC) meletak jawatan masing-masing tanpa ada sebarang alasan yang dikemukakan.


Pengunduran ketiga-tiga individu tersebut melibatkan Dr Salihin Abang, Izaddeen Daud dan Saadatul Nafisah Bashir Ahmad, dengan kesemuanya memegang pelbagai peranan penting dalam lembaga pengarah kumpulan berkenaan.


Salihin melepaskan jawatan Pengarah Bebas Bukan Eksekutif serta jawatankuasa audit dan risiko, manakala Izaddeen selain daripada Pengarah Bukan Eksekutif Bukan Bebas, juga meletak jawatannya dalam lembaga pengarah.


"Sementara itu, Saadatul Nafisah mengosongkan kerusinya dalam lembaga pengarah selain berundur sebagai anggota jawatankuasa audit serta pencalonan dan imbuhan," kata BHIC dalam makluman kepada Bursa Malaysia 


Proses penggantian mereka masih belum lagi diumumkan oleh kumpulan berkenaan tetapi ia dijangka susulan kepada usaha penstrukturan semula lebih meluas di peringkat kumpulan.


Ia berikutan syarikat induk BHIC, Boustead Holdings Berhad, dan pemegang saham utamanya, Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), mula bergerak ke hadapan dengan agenda penstrukturan semula yang luas.


Izaddeen dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Boustead Holdings pada November 2022.


Laporan tahunan terbaru BHIC menunjukkan beliau masih memegang jawatan itu, walaupun laman web rasmi Boustead Holdings pada masa ini tidak menyenaraikan kedudukan tersebut dalam kalangan pasukan kepimpinannya.


Pada Februari 2025, kerajaan melancarkan pelan tindakan pembaharuan baharu yang digelar Project Earth, bertujuan bagi meningkatkan kecekapan operasi serta produktiviti di seluruh LTAT dan portfolio syarikatnya.


Ini termasuk Boustead dan BHIC dengan projek tersebut menggantikan Project Moonshot sebelum itu yang telah digantung pada 2023 berikutan kebimbangan terhadap kestabilan kewangan LTAT.


Pelan sebelum ini bermatlamat untuk mengurangkan keseluruhan hutang Boustead sebanyak RM3.4 bilion dan melepaskan pegangannya dalam enam anak syarikat utama. - DagangNews.com