Tidak mahu bayar dua kali, Shell MDS minta kekal status quo dalam pertikaian Petros-Petronas | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tidak mahu bayar dua kali, Shell MDS minta kekal status quo dalam pertikaian Petros-Petronas

KUALA LUMPUR 28 Jan - Mahkamah Tinggi memberikan injunksi interim kepada Shell MDS (Malaysia) Sdn Bhd bagi menghentikan sementara pembayaran bernilai jutaan ringgit untuk bekalan gas asli di Bintulu, kesan pertelingkahan undang-undang antara Petroliam Nasional Berhad (Petronas) dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros).

 

Pesuruhjaya Kehakiman, Arziah Mohamed Apandi dalam keputusannya berkata, ini akan mengekalkan status quo, membolehkan Shell MDS meneruskan operasi tanpa gangguan sementara prosiding undang-undang antara Petronas dan Petros diselesaikan.

 

Permohonan segera itu berpunca daripada kesusahan Shell MDS untuk mengemudi dua perjanjian bekalan gas (GSA) yang bercanggah antara Petronas bertarikh 17 Julai 2020 dan Petros pada 16 Ogos tahun lepas.

 

 

Plaintif (Shell MDS) berkata, mereka berdepan risiko pembayaran dua kali ganda dan potensi gangguan operasi di kemudahannya di Bintulu jika perkara itu masih tidak dapat diselesaikan.

 

Mahkamah menyatakan, isu utama pertikaian itu adalah pertembungan bidang kuasa antara undang-undang persekutuan dan negeri membabitkan Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA 1974) dan Ordinan Pengagihan Gas Sarawak 2016 (DGO 2016) bersama dengan pindaan 2023.

 

PDA 1974 menetapkan Petronas memegang hak eksklusif ke atas operasi petroleum di seluruh negara manakala DGO 2016 menetapkan Petros sebagai agregator gas tunggal di negeri ini.

 

Shell MDS sedang berusaha untuk mengekalkan status quo dengan menghalang kedua-dua defendan (Petronas dan Petros) daripada mengganggu bekalan gas atau menguatkuasakan tuntutan pembayaran sehingga mahkamah boleh menentukan penerima bayaran yang sah di bawah prosiding interpleader.

 

Plaintif berkata, membuat pembayaran kepada mana-mana pihak tanpa penentuan mahkamah boleh mendedahkan mereka kepada liabiliti jenayah di bawah DGO 2016.

 

Petronas berkata, imbangan kemudahan memihak kepada mereka kerana mereka terus menanggung kos yang besar (kira-kira RM2 bilion dalam bekalan tidak dibayar) manakala Shell MDS memperoleh keuntungan daripada bekalan gas.

 

Petronas menekankan, mereka adalah satu-satunya pihak yang mampu membekalkan gas secara fizikal dan mempunyai komitmen berterusan kepada pengeluar huluan yang memerlukan perbelanjaan kewangan yang besar.

 

Sementara itu, Petros berkata, DGO 2016 menggantikan PDA 1973 dan mereka merupakan aggregator tunggal gas yang ditetapkan secara sah di Sarawak.

 

Katanya, Petronas tidak ditetapkan sebagai agregator gas dan tidak boleh menjalankan aktiviti berkaitan secara sah di Sarawak.

 

Hakim dalam keputusannya berkata, Shell MDS mempunyai kes yang luar biasa, kukuh dan jelas untuk mahkamah bergantung kepada ekuiti bagi melihat kepada intipati dan niat permohonan.

 

"Shell MDS tidak meletakkan dirinya untuk terperangkap dalam kemelut ini. Mereka mahu memenuhi semua kewajipan mereka di bawah kedua-dua GSA bagi memastikan bekalan gas kekal tidak terganggu.

 

"Shell MDS tidak boleh menentukan kepentingan Petronas atau Petros kerana mereka bukan sebahagian daripada pergolakan yang berterusan. Bukan salah Shell MDS berlakunya perebutan antara Petronas dan Petros.

 

"Plaintif sanggup dan mampu membuat pembayaran kepada entiti yang betul seperti yang ditentukan mahkamah. Ini terbukti dengan tindakannya mengetepikan dana dan meminta campur tangan mahkamah bagi menyelesaikan pertikaian pembayaran.

 

"Permohonan injunksi ini ialah bagi menetukan kepada siapa Shell MDS perlu membayar bekalan gasnya," katanya dalam penghakiman bertarikh 6 Januari 2025, lapor NST, hari ini.

 

Arziah berkata imbangan kemudahan menyokong pemberian injunksi itu, kerana ia akan menghalang kemudaratan yang tidak boleh diperbaiki kepada Shell MDS, mengekalkan status quo, dan mengelakkan pembayaran berganda dan potensi pelanggaran undang-undang sambil menjaga kepentingan semua pihak.

 

Beliau berkata, Petronas menyedari cabaran yang dihadapi Shell MDS dengan Petronas dan Petros akan mengeluarkan invois kepada syarikat itu untuk bekalan gas.

 

"Kenyataan media terkini oleh pegawai kerajaan menunjukkan kemajuan dalam menyelesaikan pertikaian asas," katanya. - DagangNews.com