KUALA LUMPUR 29 Mei — "Hal ini (kekosongan jawatan Menteri Ekonomi) tiada kena mengenai sama ada hendak isi atau tidak isi, tetapi ia urusan dalaman PKR sendiri," tegas Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Beliau ditanya pemberita mengenai desas-desus dirinya sebagai calon yang paling layak dilantik oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengisi portfolio itu susulan peletakan jawatan penyandangnya, Datuk Seri Rafizi Ramli semalam.
Johari yang juga Naib Presiden UMNO berkata, perkara berhubung kekosongan jawatan menteri berkenaan adalah melibatkan PKR sahaja, sekali gus mengesahkan spekulasi portfolio kuota itu hanya akan diisi oleh individu mewakil parti terlibat.
"Itu soal PKR sendiri, saya tidak mahu campur hal mereka," jelasnya yang menjadi tumpuan petugas media selepas merasmikan Peluncuran Projek Rintis Penggunaan Biodiesel Sawit B20 di Hotel Sama Sama, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini.
Rafizi semalam mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Ekonomi, berkuat kuasa 17 Jun 2025, disusuli pula Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad yang turut meletak jawatannya berkuat kuasa 4 Julai 2025.
Kedua-dua menteri terbabit berbuat demikian susulan kekalahan mereka dalam pemilihan PKR pada 25 Mei 2025 dan bertindak menyerahkan surat peletakan jawatan masing-masing kepada Anwar sebelum bercuti yang bermula semalam.
Ditanya lebih lanjut, sekiranya Kabinet sudah membincangkan rombakan berhubung isu kekosongan dua jawatan menteri tersebut, Johari menjelaskan, setakat ini belum ada sebarang perbincangan lanjut mengenai perkara berkenaan.
"Tiada apa-apa dan belum pun ada mesyuarat Kabinet (membincangkan perkara dua jawatan menteri itu) malah saya sekarang pun ada banyak kerja yang kena buat," tambah beliau dalam nada berseloroh. - DagangNews.com








