KUALA LUMPUR 11 Sept - Syarikat telekomunikasi terkemuka Eropah, Thales memenangi kontrak untuk membekalkan sistem radio gelombang tinggi generasi baharu, HF XL kepada Tentera Darat Malaysia.
Ini merupakan kontrak antabangsa pertama Thales bagi sistem komunikasi jenis tersebut yang mana pakej termasuk radio, penguat isyarat dan antena.
Kontrak yang dimeterai dengan kerjasama syarikat tempatan Advanced Defence Systems (ADS) Sdn. Bhd., merangkumi lebih 100 unit lengkap stesen radio HF XL TRC 3900 yang dipasang pada kenderaan.
Kontrak itu ditandatangani antara Pengarah Pembangunan Perniagaan ADS, Lt. Kol (B) Shane Chin dan Naib Presiden Jualan Eksport, Komunikasi Selamat & Sistem Maklumat Thales, Olivier Achard pada hari pertama pameran DSEI 2025 di London.

Thales dalam satu kenyataan memberitahu, kontrak ini juga menyaksikan Malaysia muncul sebagai pelanggan antarabangsa pertama yang menggunakan sistem radio gelombang tinggi generasi baharu HF XL.
“Rangkaian lengkap TRC 3900 turut merangkumi penyelesaian 20W manpack untuk keperluan operasi jarak jauh sehingga 1,000 kilometer, selain konfigurasi 400W dan 1kW yang membolehkan pos komando berhubung dengan markas serta unit di kawasan operasi sejauh 5,000 kilometer.
“Semua sistem ini dijamin serasi sepenuhnya dengan radio sedia ada dalam inventori Tentera Darat Malaysia,” ujar kenyataan itu.
Sistem HF XL yang diperkenalkan di Eurosatory 2024 menawarkan kadar penghantaran data sehingga 10 kali ganda lebih tinggi berbanding sistem HF sedia ada.

Ia direka untuk memastikan komunikasi jarak jauh yang teguh di persekitaran mencabar, sekali gus sesuai dengan keadaan geografi dan iklim tropika Malaysia.
Selain komunikasi selamat dan kos operasi rendah, sistem ini turut berupaya memindahkan fail data besar termasuk imej serta penstriman video, sambil mengekalkan ketahanan daripada gangguan isyarat.
Thales sebagai rakan utama dalam komunikasi pertahanan ATM sehingga kini telah membekalkan lebih 10,000 unit radio kepada Tentera Darat Malaysia sejak dua dekad lalu.
Kontrak bersama ADS adalah bukti komitmen Thales untuk bekerjasama dengan pemain tempatan bagi menyokong aspirasi pertahanan jangka panjang Malaysia. - DagangNews.com








