Texchem tunjuk tanda pemulihan 1QFY26, RHB Research saran ‘Beli’ dengan harga sasaran lebih tinggi RM1.39 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Texchem tunjuk tanda pemulihan 1QFY26, RHB Research saran ‘Beli’ dengan harga sasaran lebih tinggi RM1.39

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 4 Mei - Keputusan suku pertama tahun kewangan 2026 (1QFY26) Texchem Resources Bhd menunjukkan tanda pemulihan yang jelas dan berada dalam jangkaan, sekali gus memberi petunjuk FY26 bakal menjadi tahun lebih kukuh bagi kumpulan, kata RHB Research.

 

Sehubungan itu, firma penyelidikan itu menyarankan ‘Beli’ ke atas saham Texchem dengan harga sasaran lebih tinggi RM1.39 berbanding RM1.31 sebelum ini, mencerminkan potensi kenaikan sehingga 88% selain hasil dividen sekitar 5%.

 

“Prestasi akan disokong oleh pendapatan dagangan kimia yang lebih mantap susulan gangguan bekalan global dan harga jualan purata (ASP) yang tinggi, selain pertumbuhan berterusan dalam segmen kejuruteraan polimer (PE) dan restoran,” katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Bagi 1QFY26, Texchem mencatatkan hasil sebanyak RM287.4 juta, meningkat 1.8% tahun ke tahun, manakala keuntungan teras melonjak 92% kepada RM4 juta, mewakili 23.8% daripada unjuran tahun penuh.

 

Margin keuntungan turut bertambah baik disokong penurunan kos susut nilai, perbelanjaan faedah dan cukai, manakala keuntungan teras meningkat hampir 30% suku ke suku.

 

Dari segi segmen, bahagian perindustrian mencatat lonjakan keuntungan sebelum cukai sebanyak 71.5% didorong permintaan kukuh dan perolehan pelanggan baharu, sekali gus mengimbangi kerugian dalam segmen makanan akibat kos input lebih tinggi.

 

Segmen PE pula terus mencatat pertumbuhan stabil sebanyak 16.8%, disokong permintaan daripada industri semikonduktor serta kecekapan operasi yang dipertingkatkan.

 

Sementara itu, segmen restoran mencatat peningkatan ketara apabila keuntungan sebelum cukai meningkat lima kali ganda hasil penutupan cawangan tidak menguntungkan dan kawalan kos lebih ketat.

 

Dari segi prospek, segmen PE dijangka kekal sebagai pemacu utama dengan permintaan meningkat bagi bahan berkaitan kecerdasan buatan (AI), memori dan rantaian bekalan cakera keras.

 

Segmen restoran pula dijangka mendapat manfaat daripada usaha penjenamaan semula dan rasionalisasi operasi, manakala bahagian perindustrian dijangka memanfaatkan harga kimia yang tinggi serta kekangan bekalan global.

 

Dalam masa sama, segmen makanan menyasarkan untuk mengurangkan kerugian melalui pengembangan operasi ke Thailand dan penumpuan kepada pasaran domestik.

 

Pengurusan turut merancang perbelanjaan modal tambahan bagi meningkatkan kapasiti mesin PE serta membuka sekitar 10 cawangan restoran baharu.

 

Secara keseluruhan, unjuran pendapatan bagi FY26 dan FY27 dikekalkan, manakala penilaian saham kekal menarik pada paras 5 hingga 6 kali nisbah harga kepada pendapatan, menjadikannya antara kaunter nilai dalam sektor berkaitan rantaian bekalan semikonduktor.

 

Antara risiko utama termasuk potensi kelemahan jualan, peningkatan kos input serta turun naik harga bahan kimia global. - DagangNews.com